Sukan

Perjalanan Sukar Ke Olimpik Jepun Buat Fatehah

Perjalanan ke Olimpik akan menjadi semakin sukar buat pelumba basikal Fatehah Mustapa.

Fatehah tidak lagi berlatih di Melbourne, sebaliknya dia akan berlatih di bawah jurulatih tempatan, Junaidi Nasir yang juga merupakan pembantu kepada jurulatih Australia John Beasley.

Fatehah membuat keputusan mengejut untuk kekal di Kuala Lumpur dan akan berulang-alik untuk berlatih di bawah Junaidi di Velodrome Nasional di Nilai. Proses kelayakan Olimpik bakal berlangsung, bermula dengan siri Kejohanan Trek Piala Dunia yang akan berlangsung pada bulan hadapan.

Pelumba berumur 29 tahun yang berasal dari Terengganu itu telah berlatih di Melbourne sejak tahun 2008, dan ia masih belum dapat dipastikan sama ada dia mampu untuk mengembalikan keupayaannya yang membolehkan dia menjadi satu-satunya rakyat Malaysia yang memenangi pingat perak di Piala Dunia dan Sukan Asia di Incheon pada tahun 2014.

Fatehah turut mempunyai kempen yang memberangsangkan apabila dia memungut empat pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lepas, namun sejak itu dia bergelut untuk kembali ke tahap 100%.

Ayahnya yang jatuh sakit baru-baru ini benar-benar menjejaskan moralnya.

Fatehah yang bersaingan di Sukan Olimpik London 2012 dan Rio 2016 digugurkan daripada menyertai Sukan Asia Indonesia baru-baru ini.

“Fatehah tidak akan kembali ke Melbourne dan dia mahu kekal dan berlatih di bawah Junaidi.

“Dia sendiri memilih untuk melakukan demikian atas sebab-sebab peribadi dan kami melakukan yang terbaik untuk menyokongnya kerana dia sedang bergelut buat masa ini.

“Kami akan menghantarnya untuk menyertai siri Piala Dunia Trek di India dan Thailand pada minggu-minggu akan datang ini dan kita akan lihat adakah dia mampu untuk melakukannya.

“Tetapi dia masih jauh dari tahap terbaiknya. Saya tidak memilihnya untuk kempen Sukan Asia kerana dia tidak akan dapat memenangi sebarang pingat selagi dia begini.

“Fatehah adalah pemuba yang sangat bagus tetapi buat masa ini dia perlu menunjukkan kemahuan yang tinggi,” ujar Beasley yang kini akan menumpukan perhatiannya melatih pelumba muda Farina Shawati Mohd Adnan dan Anis Amira Rosidi.

“Kita perlukan seseorang untuk mengambil alih tugas Fatehah satu hari nanti dan kami sedang melakukan yang terbaik untuk melatih pelumba-pelumba muda.”

Farina, Muhd Shah Firdaus Sahrom dan pemenang pingat emas acara pecut Sukan Asia Indonesia, Azizulhasni Awang sudahpun terbang ke Melbourne pada hari Ahad untuk meneruskan latihan di bawah Beasley selepas berehat selama seminggu.

Anis Amira Rosidi dan Mohd Fadhil Zonis akan menyertai mereka di waktu akan datang kerana terlibat dengan Sukan Malaysia.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker