Gaya HidupKesihatan

Nak Hilang Berat Badan? Kunyah Gula-Gula Getah

Masih mencari rahsia untuk menghilangkan berat badan tanpa menggunakan tenaga yang banyak? Anda mungkin perlu mula mengunyah gula-gula getah semasa berjalan.

Dalam eksperimen yang dijalankan oleh penyelidik Jepun, kadar jantung 46 orang peserta yang berumur 21 hingga 69 tahun, meningkat apabila mereka diberikan gula-gula getah untuk dikunyah semasa berjalan pada kadar normal.

Aktiviti mengunyah menyebabkan perbezaan fizikal yang dapat diukur dalam peserta kedua-dua jantina dan di semua peringkat umur, malah ia paling ketara kepada subjek lelaki berusia lebih daripada 40an, lapor pasukan penyelidik itu di Kongres Obesiti Eropah di Vienna.

“Menggabungkan senaman dan mengunyah gula-gula getah mungkin cara yang berkesan untuk menurunkan berat badan,” syor para penyelidik terutama di negara-negara seperti Jepun di mana berjalan adalah pergerakan yang paling banyak dilakukan.

Kajian terdahulu telah mendapati bahawa mengunyah gula-gula getah meningkatkan kadar denyutan jantung dan penggunaan tenaga kepada orang yang sedang berehat.

Kajian ini adalah yang pertama didedikasikan untuk mengkaji kesan mengunyah gula-gula getah kepada orang semasa berjalan, lapor NST.

Subjek kajian diminta untuk menyelesaikan dua ujian berjalan dengan peruntukan masa 15 minit untuk setiap ujian.

Dalam ujian pertama, mereka mengunyah dua gula-gula getah yang mengandungi tiga kilokalori. Dalam ujian kedua, untuk perbandingan, mereka berjalan selepas meminum serbuk yang mengandungi ramuan yang sama dengan gula-gula getah.

Pasukan pengkaji kemudian mengukur kadar denyut jantung peserta semasa rehat dan selepas berjalan serta jarak yang mereka lalui pada kadar normal, berjalan laju, dan bilangan langkah yang diambil.

Dalam semua aktiviti, kadar degupan jantung adalah “jauh lebih tinggi” ketika mengunyah gula-gula getah, kata penyelidik.

Untuk lelaki yang berusia lebih daripada 40 tahun, gula-gula getah juga meningkatkan jarak berjalan, bilangan langkah yang diambil, dan tenaga yang digunakan.

Walaupun kajian itu tidak direka untuk menerangkan kaitannya, pasukan penyelidik menjelaskan bahawa ia mungkin ada kaitan dengan “penyelarasan kardio-lokomotor”, fenomena semulajadi di mana jantung berdegup seirama dengan pergerakan berulang.

Obesiti telah menjadi masalah global. Ia meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat penyakit jantung dan strok, diabetes, serta kanser tertentu.

“Kaedah dan rawatan pencegahan yang berkesan untuk obesiti amat diperlukan,” kata para penyelidik.

Kajian itu diterbitkan dalam The Journal of Physical Therapy Science.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker