AntarabangsaAsiaIsu Semasa

Dulu Pukul Orang, Sekarang Tolong Orang

Setiap manusia yang hidup di muka bumi ini tidak akan dapat lari daripada melakukan dosa dan kesalahan.

Oleh kerana itu, setiap orang berhak untuk menerima peluang kedua di dalam kehidupan sekali gus dapat mengubah diri ke arah yang lebih baik.

Di Taiwan, seorang lelaki bernama Yen Wei-shun meluangkan sebahagian besar daripada kehidupannya menjadi anggota kongsi gelap.

Memetik laporan Channel News Asia, Yen telah mula menjadi menjadi gengster sejak berusia 15 tahun lagi, dan dia disabitkan dengan kesalahan membunuh selepas memukul seorang lelaki sehingga cedera parah dalam sebuah pertempuran beramai-ramai di antara kumpulan kongsi gelap.

Disebabkan itu, dia dikenakan hukuman penjara selama empat tahun setengah.

Tetapi selepas menjalani hukuman penjara, Yen masih tidak serik dan terus bergiat aktif di dalam dunia gengster.

8 tahun lalu, dia sekali lagi dibicarakan di mahkamah atas dakwaan memiliki senjata api secara haram, namun Yen bertuah kerana mahkamah mengenakan bon berkelakuan baik ke atasnya.

Berikutan itu, Yen terus insaf dan menganggap keputusan mahkamah itu sebagai “peluang kedua yang datang dari syurga.”

“Ini (keputusan mahkamah) merupakan kesedaran bagi diri saya. Saya telah menyedari bahawa saya perlu menghargai apa yang saya ada daripada sekarang – keluarga dan kebebasan,” katanya.

Difahamkan, keluarganya mempunyai sebuah gerai mee sup, dan demi menebus dosa-dosa silamnya, Yen berganding bahu dengan ibunya untuk memberi makanan percuma kepada pelanggan-pelanggan daripada golongan yang kurang bernasib baik.

Usaha murni Yen turut mendapat perhatian media-media tempatan dan sebuah video mengenai kehidupannya, yang dicipta oleh sebuah portal atas talian Shanghai, telah ditonton ratusan ribu kali di YouTube.

Setiap bulan, bekas gengster itu akan memberi kira-kira 600 sehingga 700 mangkuk mee percuma, dan beliau tidak mengalami kerugian dalam perniagaan kerana kebanyakan makanan yang diberi kepada orang miskin turut ditaja oleh insan-insan lain yang berhati mulia.

“Selalunya, kebanyakan yang meminta makanan percuma adalah warga emas atau golongan muda yang tidak mempunyai pekerjaan,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, malah Yen juga menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan kepada pelanggan-pelanggannya daripada kalangan orang kurang upaya (OKU).

Selain itu, dia turut melakukan kerja-kerja amal yang lain, termasuk mengadakan lawatan ke penjara dari semasa ke semasa untuk menceritakan pengalamannya hitamnya kepada banduan-banduan agar dijadikan pengajaran.

“Ketika zaman saya menjadi genster, saya sentiasa kena berhati-hati kerana saya boleh terjumpa gengster-gengster daripada kumpulan musuh pada bila-bila masa sahaja.

“Tetapi sekarang, saya dapat berjumpa dengan individu-individu yang gembira untuk bertemu dengan saya,” jelas Yen.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker