Isu SemasaMalaysiaPolitikTempatan

Danyal Akan Terus Jadi “Mata Dan Telinga” Anwar

Akhirnya, teka-teki mengenai kerusi Parlimen mana yang akan menjadi pilihan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah pun terjawab pada hari ini apabila beliau mengesahkan akan bertanding di P132, Port Dickson.

Memetik laporan media tempatan, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Gobalan Abdullah telah bersetuju untuk melepaskan kerusinya secara sukarela bagi membuka laluan kepada Anwar kembali semula ke Dewan Rakyat sekali gus membolehkan ahli politik veteran itu diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 apabila tiba masanya nanti.

“Saya kini mengumumkan peletakan jawatan saya sebagai Ahli Dewan Rakyat di Parlimen Malaysia dengan serta-merta. Saya telah pun menghantar surat peletakan jawatan sebagai ahli Parlimen kepada Speaker Dewan Rakyat tengah hari tadi.

“Saya yakin bahawa Anwar Ibrahim akan memenangi kerusi Parlimen ini dengan mudah dan seterusnya menjadi Ahli Parlimen Port Dickson dan InsyaAllah, akhirnya menjadi Perdana Menteri ke lapan,” katanya dalam sidang media pada hari ini.

Danyal turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengundi yang telah menyokong dan memilih beliau sebagai Ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Difahamkan, beliau telah meraih kemenangan besar pada PRU14 apabila menerima 36,225 undi dengan majoriti 17,110, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), VS Mogan (18,515 undi) dan calon PAS, Mahfuz Roslan (6594 undi).

Walaupun tidak lagi memegang kerusi Parlimen Port Dickson, beliau tetap berikrar untuk terus berkhidmat kepada penduduk kawasan itu dan akan menjadi “mata dan telinga” Anwar.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution menyatakan bahawa tiada sebarang pampasan yang diberikan kepada Danyal berikutan kerelaan beliau untuk melepaskan kerusinya.

“Tiada satu pun. Inilah keindahan menjadi ahli PKR, kita tidak perlu risau tentang itu. Malah, apabila Rafizi mengosongkan kerusi Pandan untuk Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, tiada sebarang pampasan diberikan dan beliau menjadi ‘orang miskin’ sekarang,” ujar Saifuddin.

Dalam pada itu, mana-mana Ahli Parlimen yang melepaskan kerusinya sebelum tamat penggal lima tahun akan dikenakan penalti.

Oleh yang demikian, individu tersebut tidak dibenarkan untuk bertanding dalam sebarang bentuk pilihan raya dalam tempoh lima tahun seterusnya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker