Isu SemasaTempatan

Berlaku Salah Guna SST? Aduan Boleh Dibuat Menerusi WhatsApp

Pada 1 September lalu, kerajaan telah memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan pada 1 Jun.

Sekiranya berlaku sebarang salah laku berkaitan SST, orang ramai kini boleh membuat aduan/laporan menerusi aplikasi WhatsApp pada nombor 019-2794317.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, penggunaan aplikasi media sosial berkenaan merupakan saluran alternatif yang disediakan bagi memudahkan pengguna untuk membuat aduan, di mana mereka hanya perlu menyertakan:

1. Nama penuh

2. Gambar resit

3. Nama premis yang melakukan salah laku

“Tindakan akan diambil dalam tempoh 24 jam,” kata Saifuddin.

Memetik laporan Bernama, beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Taklimat Pelaksanaan SST oleh Jabatan Kastam pada Isnin.

Dalam pada itu, Saifuddin turut mendedahkan bahawa setakat ini, kementeriannya telah menerima 642 aduan menerusi WhatsApp sejak platform alternatif ini mula diperkenalkan pada 1 September lalu.

Tambah beliau, kebanyakan aduan yang dilaporkan oleh pengguna membabitkan harga makanan dan minuman di restoran.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu berkata, pihaknya juga menyaksikan penurunan harga barang di antara 0.2% dan 12.9% sejak pelaksanaan SST awal bulan ini.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di dalam ucapannya ketika majlis itu menyatakan bahawa SST yang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah lebih mesra rakyat berbanding GST.

Menurutnya, barangan yang tidak dikenakan cukai mencecah sehingga 5,000 barangan di bawah SST, di mana barang yang dikenakan cukai pula hanya 38% berbanding 60% ketika era GST.

“Kerajaan PH juga berjanji tidak akan songlap duit yang diperoleh menerusi SST ini dan sekiranya terdapat wakil kerajaan yang terlibat dalam pecah amanah, tindakan akan diambil,” tegasnya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker