AntarabangsaIsu Semasa

China Anggap Agama Islam Sebagai Penyakit Mental

China adalah antara negara-negara besar yang sangat homogen di dunia, dengan bangsa Han menyumbang 91 peratus daripada penduduknya. Parti Komunis yang memerintah menganggap sifat homogen dan perpaduan sosial China menjadi tonggak kekuatannya dan juga rasionalisasi yang kuat untuk diskriminasi terhadap etnik minoriti dan pemerintahan autoritarian.

Tetapi wilayah Xinjiang di barat laut China, adalah wilayah kepada penduduk Uighur yang kebanyakannya Muslim dari kumpulan etnik Turki. Kerajaan China telah lama bimbang bahawa orang Uighur akan cuba menubuhkan tanah air mereka di rantau itu yang biasanya mereka panggil Turkestan Timur.

Pada tahun 2009, rusuhan etnik di Xinjiang membunuh beratus-ratus nyawa. Sejak peristiwa hitam itu, nasionalis Uighur telah melakukan beberapa serangan pengganas.

Oleh itu, untuk memerangi keinginan puak Uighur menuntut kemerdekaan dan menjalankan kegiatan pengganas, kerajaan China pimpinan Xi Jinping telah memutuskan untuk mengisytiharkan agama Islam sebagai “penyakit mental” yang berjangkit.

Akibat daripada pengisytiharan itu, satu juta orang Uighur telah dikuarantin dalam kem pemulihan akidah, menurut anggaran dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu seperti yang dilaporkan The Atlantic.

Dalam temu bual, bekas penghuni kem-kem tersebut mengatakan bahawa mereka telah dipaksa untuk meninggalkan agama Islam, menyanyikan lagu-lagu Parti Komunis, memakan daging babi, dan minum arak. Laporan lain turut mendakwa sesetengah daripada mereka telah diseksa dan dibunuh.

Pada mulanya, Beijing mewujudkan kem tahanan itu untuk golongan radikal. Tetapi akhirnya mereka memutuskan bahawa “penyakit ideologi” puak Uighur itu begitu merosakkan dan menular.

Maka kerajaan memutuskan adalah lebih baik untuk kuarantin puak itu secara propolis apabila terdapat gejala yang sangat kecil seperti mempunyai janggut panjang pada wajah.

Di Barat, China menegaskan bahawa kem-kem pemulihan itu hanyalah sekolah vokasional. Tetapi Beijing secara jelas menyatakan tujuan kem tersebut kepada rakyat China.

Parti Komunis menerangkan dasarnya dalam rakaman rasmi:

“Orang awam yang telah dipilih untuk pemulihan semula telah dijangkiti penyakit ideologi. Mereka telah dijangkiti dengan ekstremisme agama dan ideologi pengganas yang ganas dan oleh itu mereka mesti mendapatkan rawatan dari hospital sebagai pesakit dalam.”

Ini bukan kali pertama China menggunakan analogi perubatan untuk menekan minoriti agama. Dari segi sejarah, ia setanding dengan strategi yang digunakan ke atas Falun Gong, sebuah amalan rohaniah yang pengikutnya ditindas pada awal tahun 2000 melalui pendidikan semula di kem buruh paksa.

“Falun Gong juga dianggap seperti ketagihan yang berbahaya. … Tetapi di Xinjiang adalah lebih buruk. Kesan ketagihan agama sedang ditekankan dengan cara yang belum pernah terjadi sebelumnya,” kata Adrian Zenz, seorang penyelidik di Sekolah Kebudayaan dan Teologi Eropah di Jerman.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker