Isu SemasaMalaysiaPolitikTempatan

Bersatu Boleh Tumbang Jika Tidak Menggunakan Kuasa Dengan Betul

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dapat hadir pada Sambutan Hari Ulang Tahun Kedua Bersatu pada Sabtu lalu, namun beliau tetap menyampaikan ucapannya kepada ahli-ahli parti menerusi rakaman video.

Antara pesanan penting yang disampaikan oleh Muhyiddin adalah supaya partinya tidak menggunakan kuasa yang ada untuk tujuan yang salah kerana ia boleh menyumbang kepada kejatuhan Bersatu.

“Kita perlu belajar daripada sejarah…..Parti kita masih baru dan saya percaya bahawa kita boleh membentuk sebuah budaya Bersatu demi memastikan kita sentiasa menggunakan kuasa yang ada pada landasan yang betul,” katanya.

Oleh yang demikian, beliau mengingatkan ahli-ahli di peringkat akar umbi sehinggalah kepimpinan tertinggi untuk menerapkan nilai-nilai murni di dalam parti demi manfaat rakyat.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berkata, kuasa untuk mentadbir adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan digunakan demi tujuan yang betul.

“Tuhan sedang menguji kita dengan kuasa. Adakah kita akan menggunakannya untuk kebaikan atau menyebabkan kerosakan,” ujar beliau.

Tambah Muhyiddin, Bersatu perlu membentuk budaya yang mulia berasaskan nilai-nilai utama termasuk disiplin, amanah, kepercayaan, perpaduan, fokus terhadap perjuangan parti, dan komitmen kepada parti untuk terus kekal relevan.

Memetik laporan media tempatan, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri turut berharap agar tidak wujud sebarang kem atau puak di dalam Bersatu yang boleh membawa kepada perpecahan parti itu.

“Elakkanlah perkara ini. Sementara parti kita ini masih baru, semailah ia dengan nilai-nilai perpaduan dan setiakawan yang akan memperkukuhkan parti.

“Jagalah hubungan baik sesama kita. Sentiasalah bersangka baik dengan rakan-rakan kita, sebagai manusia, kita tidak sempurna dan ada kelemahan masing-masing.

“Jangan kita memperbesarkan kelemahan orang lain sehingga menimbulkan prasangka dan pergaduhan sesama sendiri. Jika ada kelemahan, sama-samalah kita bantu-membantu untuk memperbaikinya supaya kita menjadi parti yang kuat,” katanya.

Ujar Muhyiddin lagi, kemenangan parti di dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu bukan bermaksud ia telah mencapai semua tujuan perjuangan

Muhyiddin turut mengingatkan bahawa kemenangan Bersatu dalam pilihan raya yang lalu bukan bermaksud telah mencapai semua tujuan perjuangan.

“Malah, kita sebenarnya sedang memasuki satu fasa baharu dalam perjuangan untuk memulihkan negara dan melakukan pembaharuan. Saya ingin mengingatkan bahawa fasa perjuangan ini masih getir,” katanya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker