AntarabangsaAsiaIsu SemasaPolitik

Anak Presiden Dan Bekas Diktator Filipina Bergabung?

Pada tahun ini, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte kerap meluahkan hasratnya untuk bersara awal kerana tidak lagi bertenaga memikul tanggungjawab sebagai pemimpin negara dan juga sudah bosan dengan amalan rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan, walaupun pentadbirannya baru memasuki penggal kedua.

Walau bagaimanapun, anak perempuannya, Sara Duterte dilihat sedang berusaha keras untuk memastikan segala agenda dan perancangan politik Duterte mendapat sokongan yang sewajarnya dan mampu dilaksanakan.

Bukan itu sahaja, malah Sara juga dilaporkan sedang menjalinkan hubungan yang kukuh dengan anak perempuan bekas diktator Ferdinand Marcos, iaitu Imee Marcos.

Memetik laporan Reuters, anak presiden itu memainkan peranan penting dalam menyatukan dan membentuk 9 gabungan parti politik, (termasuk parti pimpinan Imee) untuk memastikan pelantikan veteran politik, Gloria Macapagal Arroyo sebagai Speaker Dewan Perwakilan, menggantikan sekutu Duterte yang tidak sehaluan dengannya, Pantaleon Alvarez.

Difahamkan, Gloria merupakan bekas Presiden Filipina yang mempunyai pengaruh yang luas, dan pelantikannya sekali gus akan menjamin sokongan terhadap Duterte dan agenda-agenda beliau.

Dalam satu kenyataan pada bulan lepas, Duterte mengatakan bahawa adik kepada Marcos, iaitu Ferdinand Marcos Jr, adalah individu yang layak untuk menggantikan tempatnya jika beliau meletak jawatan sebagai pemimpin negara.

Menurut Dr. Richard Heydarian, seorang penulis, kolumnis dan ahli akademik yang mempunyai kepakaran dalam bidang politik, keluarga Marcos mahu terus kekal relevan di dalam Filipina serta budaya politik, di mana kesetiaan berubah dengan mudah dan tidak kekal lama.

Memandangkan Duterte adalah individu yang paling berkuasa di Filipina pada masa ini, memberi sokongan kepada beliau adalah satu langkah yang wajar.

“Orang sekeliling Duterte sedang mencari ‘pusat graviti’ baru. Mereka melihat petanda-petanda seorang presiden yang sudah letih dan (pada masa yang sama) melihat peluang untuk mencari pengganti yang boleh melindungi kepentingan mereka.

“Beliau (Duterte) mempunyai rangkaian ahli politik yang sangat kecil, beliau juga tidak berada di kemuncaknya. Duterte hanya perlu bertahan selama yang boleh,” kata Dr. Heydarian.

Namun begitu, Duterte turut mengakui bahawa beliau tidak boleh meletak jawatan kerana sekiranya berbuat demikian, kedudukannya akan diambil alih oleh Naib Presiden.

Jawatan Naib Presiden pula kini dipegang oleh Leni Robredo, iaitu Ketua Pembangkang yang dilantik secara asing ketika pilihan raya yang lalu.

Demi mengukuhkan kedudukan di Dewan Senat, Sara dan sekutu-sekutu Duterte, termasuk jurucakap, pembantu khas, bekas ketua polis negara, dan juga Imee, berhasrat untuk bertanding jawatan Senat pada Pemilihan 2019 nanti.

Duterte kini mempunyai majoriti yang kukuh di dalam Dewan Perwakilan Rakyat, tetapi tidak mendapat sokongan yang kukuh di dalam Dewan Senat untuk melaksanakan janji serta agenda pilihan rayanya yang lalu.

Antara rancangan utama beliau adalah untuk merangka semula Perlembagaan dan melaksanakan dasaar ekonominya, iaitu pembinaan infrastruktur bernilai AS$180 bilion (RM746 bilion) dalam usaha untuk memodenkan Filipina, mewujudkan peluang pekerjaan, dan juga menarik masuk pelaburan.

“Sekarang adalah peluang untuk menggabungkan kuasa dengan mengawal kedua-dua Dewan dan unit-unit kerajaan tempatan agar kita boleh bergerak ke hadapan dengan lancar.

“Matlamat utama adalah untuk mengisi (Dewan) Senat dengan individu-individu yang boleh membantu….Kita tidak mahu orang yang hanya akan menghalang rancangannya (Duterte),” kata salah seorang anggota gabungan parti yang enggan dikenali.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker