Isu SemasaMalaysiaTempatan

Hanya Golongan B40 Layak Terima Subsidi Air Percuma Selangor?

Kerajaan Selangor akan mengkaji semula program pemberian air percuma 20 meter, dan subsidi ini mungkin hanya akan diberikan kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) pada masa akan datang.

Menurut Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, ketika program ini mula dilaksanakan pada tahun 2008, kerajaan negeri menanggung subsidi bernilai RM70 juta, dan ia telah meningkat kepada RM170 juta pada tahun lepas.

“Tahun ini pula, subsidi air yang ditanggung oleh kerajaan Selangor akan meningkat kepada RM200 juta,” katanya selepas merasmikan Selangor International Business Summit 2018, di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Khamis.

Memetik laporan New Straits Times, Amirudin menjelaskan bahawa pihaknya akan meneliti semula program air percuma ini yang hanya menyasarkan golongan B40 sahaja agar kerajaan negeri tidak terbeban dengan kos subsidi yang terlalu tinggi.

“Kita juga mahu bekalan air yang berterusan untuk semua penduduk Selangor,” ujar beliau.

Difahamkan, tarif air ditetapkan pada kadar minimum RM6 bagi 35 meter padu, namun 20 meter padu pertama telah dijadikan percuma sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Selangor pada tahun 2008.

Dua bulan lalu juga, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar telah mencadangkan agar kerajaan negeri Selangor mempertimbangkan semula dasar air percuma dan hanya memberi subsidi ini kepada golongan miskin.

Jayakumar turut menjangkakan peningkatan tarif air secara berkala selepas kerajaan Selangor telah menyelesaikan penstrukturan semula pengurusan airnya.

Bulan lepas, kerajaan negeri menerusi Air Selangor, telah menawarkan untuk membeli Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) pada nilai RM2.55 bilion.

Namun, pengambilalihan Splash tidak membabitkan sebarang peruntukan kewangan daripada tabung kerajaan negeri dan pembayarannya dilakukan dalam jangka masa panjang.

Inisiatif penstrukturan semula aset-aset air ini akan selesai apabila Air Selangor dijadikan sebagai entiti tunggal yang memproses, merawat, dan mengagihkan air kepada pengguna-pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Bercakap mengenai keadaan ekonomi Selangor, Amirudin menyatakan bahawa pada tahun ini, negeri berkenaan menyasarkan untuk meraih RM290 juta, iaitu peningkatan sebanyak 7.2% daripada hasil pendapatan pada tahun lepas yang bernilai RM270 juta.

Pada tahun lepas juga, Selangor berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai negeri yang menjadi penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang bernilai kira-kira RM1.35 trilion

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker