AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Calon Presiden Brazil Hampir Maut Ditikam Ketika Berkempen

Kempen Pilihan Raya Brazil baru-baru ini menyaksikan “tragedi berdarah” apabila calon presiden utama, Jair Bolsonaro telah ditikam ketika berkempen pada Khamis, 6 September 2018.

Memetik laporan AFP, penyerang tersebut adalah seorang lelaki bernama Bispo de Oliveira yang dipercayai merupakan anggota parti berhaluan kiri PSOL dari tahun 2007 sehingga 2014.

Oliveira yang terus ditahan oleh pihak polis selepas menikam Bolsonaro itu menyatakan bahawa dia “melaksanakan misi suci, misi yang diarahkan oleh tuhan.”

Pihak polis berkata, siasatan sedang dijalankan dan keadaan mental penyerang juga akan diperiksa.

Difahamkan, Bolsonaro merupakan seorang ahli politik berhaluan kanan yang kerap mengeluarkan kenyataan dan kecaman berkontroversi, khususnya terhadap golongan homoseksual.

Walau bagaimanapun, beliau masih mempunyai jumlah penyokong yang besar daripada puak konservatif.

Menurut doktor yang merawat Bolsonaro, Dr. Luiz Henrique Borsato, tusukan pisau itu turut terkena ususnya, dan beliau dijangka akan mengambil masa dua bulan untuk pulih sepenuhnya dan akan berada di hospital selama sekurang-kurangnya seminggu.

“Kecederaan dalamannya amat teruk dan ia boleh membawa maut…Cabaran yang dihadapi sekarang adalah untuk menghalang jangkitan akibat usus Bolsonaro yang berlubang,” Dr. Borsato.

Sementara itu, anak lelaki Bolsonaro, Flavio Bolsonaro telah mengecam sekeras-kerasnya serangan ke atas bapanya itu.

Tegas Flavio, serangan tersebut tidak akan menjejaskan kedudukan bapanya, malah ia sebaliknya akan meningkatkan lagi kedudukan beliau di dalam arena politik.

“Saya hanya mahu menghantar pesanan kepada penyangak yang cuba memusnahkan kehidupan seorang lelaki yang sayang akan keluarganya, seorang lelaki yang menjadi harapan untuk jutaan rakyat Brazil: anda baru sahaja melantiknya sebagai presiden. Beliau akan terus menang dalam pusingan pertama,” tegas Flavio.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker