Isu SemasaPolitikTempatan

Pengundi OKU Akan Dibantu Untuk Keluar Mengundi

Para pengundi Orang Kurang Upaya (OKU) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia yang akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada Sabtu ini tidak perlu bimbang kerana bantuan akan diberikan bagi memudahkan mereka menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin.

Menurut calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar, mana-mana pengundi OKU yang mengalami masalah untuk menuju ke tempat mengundi boleh menghubungi bilik gerakan utama PH ataupun jentera kempen di kawasan mereka bagi mendapatkan bantuan.

Memetik laporan Bernama, Halimey menyatakan bahawa PH sentiasa prihatin terhadap keperluan golongan istimewa ini, dan akan berusaha bertungkus-lumus demi menaik taraf semua kemudahan OKU yang sedia ada.

“Fokus utama kita juga adalah untuk menyantuni golongan OKU ini dengan memberikan kemudahan kepada mereka untuk melaksanakan tanggungjawab dan hak mereka sebagai rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media pada Rabu.

Untuk membantu individu-individu yang mengalami kecacatan kekal akibat kemalangan ketika bekerja pula, beliau akan berusaha mendapatkan kerjasama Pertubuhan Keselamatan dan Sosial Pekerja (PERKESO) bagi memudahkan urusan golongan ini.

“Saya percaya ada antara mereka tidak mengetahui faedah yang boleh diperoleh daripada Perkeso seperti Pencen Ilat untuk membantu mereka yang mengalami kecacatan kekal akibat kemalangan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Halimey juga berharap agar PRK kali ini akan menyaksikan kehadiran lebih ramai pengundi, dan pihaknya akan menambah kenderaan siaraya untuk memanggil para penduduk agar keluar menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

“Daripada dua kenderaan yang dilengkapi sistem siaraya, kita akan tambah lagi unit tersebut untuk mempergiatkan pengumuman mengingatkan orang ramai untuk turun mengundi,” katanya.

PRK Dun Seri Setia bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Halimey dan calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Dr. Halimah Ali.

PRK Dun Balakong juga akan dilaksanakan secara serentak pada hari yang sama.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker