AntarabangsaAsiaIsu Semasa

Mengapa Wanita Dan Lelaki Di Aceh Dilarang Makan Bersama?

Baru-baru ini, daerah Biruen di wilayah Aceh, Indonesia telah menguatkuasakan larangan baru, di mana golongan wanita dan lelaki (bukan mahram) tidak dibenarkan untuk makan bersama di luar melainkan mereka sudah berkahwin atau mempunyai pertalian persaudaraan.

Memetik laporan AFP, larangan ini merupakan sekatan yang terbaru di dikenakan ke atas kaum wanita di satu-satunya wilayah di Indonesia yang diberi autonomi untuk melaksanakan undang-undang Islamik itu.

Mengulas lanjut mengenai peraturan baru ini, Jufliwan, ketua agensi syariah tempatan, menyatakan bahawa antara tujuan utama larangan ini adalah untuk memastikan kaum hawa di daerah itu “berkelakuan lebih baik.”

Oleh yang demikian, wanita dan lelaki tidak boleh duduk semeja di tempat-tempat makan termasuk restoran dan kedai kopi, sekiranya tidak ditemani oleh suami atau saudara lelaki terdekat mereka (ayah, abang, atau adik lelaki).

Bukan itu sahaja, malah rakan sekerja berlainan jantina juga tidak dibenarkan untuk berkongsi makanan di antara satu sama lain.

“Objektifnya adalah untuk melindungi maruah wanita supaya mereka rasa lebih selesa, lebih tenang, dan lebih berkelakuan baik dan tidak melakukan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang syariah,” kata Jufliwan.

Selain daripada itu, sebuah lagi larangan yang ditandatangani oleh ketua daerah pada 5 Ogos bulan lepas, menetapkan bahawa wanita yang berseorangan atau tidak bersama mana-mana ahli keluarga di luar tidak seharusnya “dilayan” oleh pihak restoran atau kafe┬áselepas jam 9 malam.

Namun menurut pihak berkuasa, ia bergantung kepada pemilik premis makanan sama ada untuk melaksanakan peraturan ini ataupun tidak, dan “pesalah” juga tidak akan dikenakan hukuman jika melanggar larangan berkenaan.

Tiga tahun lalu, ibu kota wilayah Aceh, iaitu Banda Aceh telah melarang wanita daripada berada di premis-premis ‘hiburan’, termasuk kafe selepas jam 11 malam.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker