MalaysiaPolitik

Di Mana Kelibat Presiden Baharu UMNO?

Pakatan Harapan berpuas hati dengan penilaian “B” untuk 100 hari pertama mereka berkuasa. Tetapi kelebihan Pakatan adalah apabila parti tertua Malaysia, UMNO masih tiada halatuju yang jelas.

“Menjadi pembangkang bukan dalam DNA kita tetapi kita perlu mengubahnya,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Umno Kok Lanas, Datuk Alwi Che Ahmad.

Umno masih lagi mencari hala tuju selepas kalah pada 9 Mei lalu sehingga ramai yang mempersoalkan adakah parti itu sedang dalam koma?

Dan ini adalah reaksi yang telah dijangka. Serbuan polis yang membongkarkan berjuta-juta ringgit dan barang-barang mahal dari harta benda yang dikaitkan dengan bekas presiden Umno telah membuat parti itu jatuh.

“Tiada lagi koma. Untuk seketika, kami telah “pitam” tetapi kini mata kami terbuka lagi,” kata Alwi.

Jalan untuk Umno bangkit bukan mudah dan ia akan menjadi seperti mendaki Gunung Everest.

Najib masih menguasai berita atas sebab-sebab yang betul dan salah. Ahli parlimen Pekan itu aktif di Twitter untuk menyerang kerajaan dan mempertahankan dirinya.

Tetapi di mana presiden baru Umno? Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hampir tidak kelihatan sejak memenangi jawatan tertinggi itu.

Presiden Umno itu kelihatan lebih terpencil daripada Najib yang menghadapi tuduhan mahkamah. Najib juga lebih kerap menghadiri sidang parlimen daripada penggantinya itu.

Tersebar khabar angin dalam Umno mengenai pertemuan rahsia antara presiden mereka dan Tun Daim Zainuddin. Dr Ahmad Zahid juga diketahui telah bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum pembedahan baru-baru ini dan sekali lagi selepas pembedahan.

Beliau telah mengadakan pertemuan-pertemuan tersebut secara rahsia selepas pertemuannya dengan Dr Mahathir menjadi perbincangan hangat politik.

Terdapat pelbagai spekulasi mengenai mesyuarat berkenaan tetapi Dr Ahmad Zahid telah menafikan bahawa pertemuan itu adalah tentang Umno bakal bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Keutamaan Dr Ahmad Zahid adalah untuk memastikan pendaftaran parti Umno tidak dibubarkan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Beliau dilihat mengamalkan gaya tidak konfrontatif dan dilihat ingin membawa partinya ke arah yang lebih tenang tanpa memerlukan sebarang tuduhan dan pertengkaran.

Barisan Nasional telah melakukan pelbagai perkara melalui RoS ketika mereka berkuasa dan presiden Umno itu sedar bahawa Dr Mahathir juga boleh memainkan permainan yang sama dan menggunakan kuasa untuk memusnahkan Umno.

Jadi, Dr Ahmad Zahid tidak mahu membangkitkan kemarahan Dr Mahathir. Beliau telah melihat cara Perdana Menteri mengendalikan Sultan Johor dan kuasa besar China. Ia menjelaskan mengapa beliau tidak menyerang Dr Mahathir.

Dr Ahmad Zahid juga menggunakan imej “polis baik” dan menyerahkan peranan “polis jahat” kepada setiausaha agungnya, Tan Sri Annuar Musa, seorang pemidato dengan lidah yang tajam dalam membidas kerajaan Pakatan.

Namun pada masa yang sama, kekuatan orang Melayu yang berdiri di belakang parti Umno tidak dapat dinafikan.

“Ia bukan mudah untuk parti yang telah lama berakar umbi seperti Umno untuk hilang. Kami akan berusaha untuk menjadi pembangkang yang baik,” tambah Alwi seperti yang dilaporkan dalam akhbar The Star.

Persoalannya yang masih menjadi tanda tanya, apakah langkah seterusnya oleh presiden Umno itu sendiri?

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker