Isu SemasaPolitikTempatan

Betul Ke KJ Akan Sertai Pakatan Harapan?

Dalam Pemilihan UMNO 2018 pada bulan Jun lalu, hasrat Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin atau lebih mesra dikenali sebagai “KJ”, untuk merebut jawatan Presiden tidak tercapai apabila tewas di tangan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Selepas itu, Khairy turut menolak jawatan Setiausaha Agung UMNO yang ditawarkan oleh Zahid kepadanya kerana mahu kekal sebagai ahli biasa untuk bersuara dengan lebih bebas bagi mengkritik dasar dan hala tuju parti sekiranya ia tidak betul.

Tetapi sejak kekalahannya juga, terdapat pelbagai khabar angin dan spekulasi yang mendakwa bahawa bekas Ketua Pemuda UMNO itu akan menyertai Pakatan Harapan (PH).

Bukan itu sahaja, malah sesetengah netizen turut berpandangan bahawa sekiranya KJ tidak ‘lompat parti’, beliau akan keluar daripada UMNO dan menubuhkan partinya sendiri.

Walau bagaimanapun, Khairy menegaskan bahawa beliau akan terus kekal setia bersama “Parti Keramat ” itu dan akan memberi fokus kepada tugasnya sebagai Ahli Parlimen.

Namun baru-baru ini pula, spekulasi mengenai kesetiaan bekas Menteri Belia dan Sukan itu telah tercetus semula susulan kenyataan pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau “Chegubard”, yang mendakwa bahawa KJ sedang mempersiapkan tempatnya di dalam PH.

“Cekap permainan Khairy Jamaluddin. ‘Provoke’ untuk dipecat sambil siapkan tempat ‘landing’ dalam parti kerajaan,” dakwa Chegubard dalam sebuah entri di laman Facebooknya.

Namun begitu, Khairy telah menepis dakwaan Chegubard itu dengan cara yang sangat unik dan kreatif.

“Habis tu, macam mana nak bertanding Presiden UMNO tahun 2021?”, kata KJ dalam satu kenyataan di akaun Twitternya.

Daripada kenyataan beliau itu, amat jelas bahawa Khairy bukan hanya akan kekal setia dengan UMNO, malah beliau juga berhasrat untuk bertanding jawatan Presiden parti itu sekali lagi pada pemilihan pada tahun 2021 nanti.

Oleh yang demikian, kita perlu berhati-hati dengan sebarang bentuk maklumat yang terkandung di media sosial kerana tidak semua berita adalah tepat.

Sebelum mempercayai, membuat spekulasi, atau menyebarkan sesuatu berita itu, pastikan kesahihannya diperiksa terlebih dahulu.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker