BudayaGaya Hidup

5 Cara Berkesan Untuk Mengelak Anak Dari Gangguan Seksual

Apabila kanak-kanak membesar, mereka mempunyai keinginan masing-masing termasuk pendedahan terhadap pergaulan. Ramai ibubapa mengalami dilema untuk mendekati anak mereka pada fasa remaja ini kerana pada masa ini kebanyakan remaja tidak mahu dianggap kanak-kanak lagi dan inginkan kebebasan.

Malahan fasa remaja ini kebanyakan remaja akan lebih dekat dengan rakan berbanding ibubapa atau ahli keluarga. Mereka malu berbincang hal-hal yang melibatkan peribadi dengan ibubapa.

Walau bagaimanapun, dengan pelbagai ancaman seperti gangguan seksual, rogol dan serangan seksual, memang patut kita sebagai ibubapa sentiasa mengawasi anak sendiri setiap masa. Jadi bagaimana ibubapa boleh membantu anak-anak dari gangguan jahat ini?

  1. Bina komunikasi yang baik dengan mereka

Setiap ibubapa seharusnya membina hubungan baik dengan anak mereka sendiri. Ibubapa juga harus menunjukkan kasih sayang (bukan memanjakan mereka tetapi ambil peduli tentang mereka).

Apabila anak anda ingin ceritakan sesuatu kepada anda, ambil masa untuk mendengar masalah mereka walaupun sesibuk manapun anda masa itu.

Beri mereka rasa selesa dan jaga hubungan baik tersebut disamping saling hormat-menghormati. Dengan cara ini kemungkinan besar anak remaja lebih selesa untuk berbincang dengan anda tentang sebarang masalah terutamanya melibatkan seksual.

2. Beritahu apa itu serangan atau gangguan seksual

Sebagai orang dewasa kita rasa seperti mereka akan lambat laun tahu tentang perkara ini. Namun, lambat laun itu sampai bila? Adakah sampai perkara ini berlaku dengan sendirinya?
Maka, janganlah ambil sambil lewa. Beritahu mereka apa itu gangguan seksual dan seperti apa yang patutnya melampaui batas.

Gangguan seksual terdapat 4 jenis iaitu sentuhan fizikal, sentuhan, komen seksual seperti menyebarkan fitnah ataupun gurauan melampau, perbualan seksual (meminta hubungan seksual) dan komunikasi seksual (bahasa yang melampau sama ada keluar dari mulut mahupun dalam mesej dalam telefon).

Jika mereka rasa sesuatu tingkahlaku tidak betul dan merasa kurang selesa, mereka perlu tahu bahawa mereka tidak perlu takut dan berhak untuk melaporkan tindakan melampau yang dilakukan pesalah (yang melakukan gangguan seksual).

3. Beri amaran kepada anak anda tentang pengganggu seksual

Ibubapa perlu mengingatkan anak-anak bahawa orang lebih tua juga boleh bertindak melampaui batas tidak semestinya rakan mereka sahaja. Adakalanya juga ia merupakan orang kenalan rapat.

Oleh itu ingatkan mereka jika ada orang tua yang melakukan serangan seksual seperti cuba bergurau berlebihan, tarik baju, peluk mereka, memberi gurauan “nakal” atau menulis sesuatu berunsur seksual, ini adalah perkara yang sangat membimbangkan dan salah.

4. Pembelajaran seks

Ibubapa perlu sentiasa bersedia apabila anak remaja mula bertanyakan soalan tentang seks. Ia adalah lebih baik berbincang perkara ini bersama daripada mereka mencari jawapannya sendiri.

5. Laporkan kejadian gangguan

Beritahu anak anda supaya jika terdapat salah laku seksual, ibubapa seharusnya menjadi orang pertama untuk tahu tentang perkara tersebut dan jangan takut untuk melaporkannya. Ibubapa juga perlu ingat untuk jangan terus terjah menyalahkan anak anda (mahupun orang lain) tetapi ambil tindakan penyelesaian secepatnya.

Jika anak anda menjadi saksi kepada serangan seksual juga, beri sokongan kepada anak anda untuk melaporkan kejadian tersebut.

Sememangnya ibubapa memainkan peranan yang sangat penting dalam menyelesaikan masalah anak mereka dan memastikan anak sendiri sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker