AntarabangsaIsu Semasa

Sepanyol Batalkan Kontrak Penjualan Peluru Berpandu Dengan Arab Saudi

Baru-baru ini, Sepanyol memutuskan untuk menghentikan penjualan 400 peluru berpandu ke Arab Saudi kerana bimbang negara itu akan menggunakan senjata tersebut ke atas orang awam di dalam Perang Yaman.

Memetik laporan Al-Jazeera, Kementerian Pertahanan telah pun mengambil langkah untuk membatalkan kontrak urus niaga senjata di antara Sepanyol dan Arab Saudi yang mula ditandatangani pada tahun 2015.

Bukan itu sahaja, malah kerajaan Madrid juga akan memulangkan semula wang AS$10 juta (RM41.4 juta) yang telah dibayar oleh Riyadh untuk membeli peluru berpandu itu.

“Kita mengesahkan berita (mengenai pembatalan kontrak) ini,” kata seorang jurucakap di Kementerian Pertahanan yang enggan namanya didedahkan.

Dalam pada itu, beliau juga tidak memberi maklumat terperinci berhubung perkara berkenaan.

Bulan lepas, pihak kementerian menyatakan bahawa ia tidak pernah menjual senjata yang berpotensi digunakan ke atas rakyat di Yaman sambil mengecam pembunuhan orang awam sedang berlaku di sana.

Kumpulan hak asasi manusia juga telah mengecam urus niaga senjata di antara negara-negara Barat dengan Arab Saudi dan sekutu-sekutunya.

Berdasarkan statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) peperangan di Yaman telah mengorbankan lebih daripada 10,000 nyawa dan menyebabkan kira-kira 8.4 juta rakyat menderita akibat kebuluran.

Menurut kumpulan hak asasi manusia antarabangsa, Amnesty International, Sepanyol merupakan penyedia peralatan ketenteraan dan senjata yang keempat terbesar kepada Arab Saudi.

Difahamkan, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah mengetuai tentera gabungan yang menentang pemberontak Houthi di Yaman sejak bulan Mac 2015.

Jelas seorang wakil Amnesty, Rasha Abdul Rahim, keputusan Sepanyol ini hanyalah “langkah yang pertama”, di mana negara itu juga patut membatalkan semua penjualan senjata lain kepada Arab Saudi, bukan sahaja 400 peluru berpandu itu.

“Senjata-senjata seperti ini telah digunakan untuk menyerang hospital, rumah, dan pasar secara berulang kali…Sudah tiba masanya untuk mengambil tindakan yang sewajarnya,” tegas beliau.

Selain itu, peperangan di Yaman juga disifatkan sebagai krisis kemanusiaan yang terburuk, dengan lebih 22 juta penduduk kini terdesak dan memerlukan makanan, ubat, serta pelbagai bentuk bantuan yang lain.

Sementara itu, Stockholm International Peace Research Institute, sebuah syarikat pangkalan data global bebas berkata, Amerika Syarikat (AS), Britain, dan Perancis juga menjadi ‘pembekal utama’ senjata bagi Arab Saudi.

Pada tahun 2017, Arab Saudi dilaporkan bersetuju untuk membeli senjata Precision Guided Munition (PGM) bernilai AS$7 bilion (RM29 bilion) daripada AS.

Berbalik kepada pembatalan kontrak senjata Sepanyol-Arab Saudi, jurucakap sebuah organisasi bernama Campaign Against Arms Trade, Andrew Smith menyatakan bahawa keputusan Sepanyol telah memberi tekanan yang besar kepada tentera gabungan yang diketuai oleh Arab Saudi.

“Ini (langkah yang diambil oleh Sepanyol) merupakan contoh penting yang perlu diikuti oleh seluruh Eropah dan kerajaan-kerajaan yang terus membekalkan senjata dan menyokong pembunuhan kejam ini, seperti AS dan UK yang telah menjual paling banyak senjata setakat ini,” kata Smith.

Justeru itu, beliau juga berharap agar kerajaan Sepanyol benar-benar berpegang pada kata-kata mereka untuk terus membatalkan kontrak senjata itu.

“Kami juga berharap ia (Sepanyol) akan memberi tekanan antarabangsa dan menggesa kerajaan-kerajaan negara lain untuk mengambil langkah yang serupa,” tambanya lagi.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker