Isu SemasaMalaysiaTempatan

Gaji Minimum Semenanjung, Sabah Dan Sarawak Diseragamkan Pada RM1,050

Mulai 1 Januari 2019, pekerja-pekerja sektor swasta di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, akhirnya akan menikmati gaji minimum seragam bernilai RM1,050, atau RM5.05 sejam.

Perkara tersebut telah diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada hari ini.

PMO berkata, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) hasil daripada kajian semula yang dilaksanakan terhadap Perintah Gaji Minimum 2016.

Di bawah Perintah Gaji Minimum 2016, jumlah pendapatan bulanan minimum yang dibayar kepada kakitangan di Semenanjung adalah RM1,000, manakala di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula adalah RM920.

“Kerajaan juga telah memutuskan untuk tidak memberi sebarang subsidi kepada pihak majikan berikutan kekangan kewangan semasa negara.

“Peningkatan gaji minimum ini juga adalah selaras dengan keadaan ekonomi semasa negara,” kata kenyataan PMO itu.

Memetik laporan New Straits Times, kenyataan tersebut turut mengatakan bahawa sebarang peningkatan gaji secara drastik bakal menimbulkan masalah lain kepada industri-industri dan berpotensi menggugat daya saing negara.

Oleh yang demikian pada tahun-tahun akan datang, gaji minimum akan ditingkatkan secara berperingkat agar majikan tidak menutup perniagaan mereka disebabkan kos operasi terlalu tinggi yang boleh menyebabkan pekerja diberhentikan.

“Majikan dan peniaga juga digesa agar tidak menaikkan harga barang dan perkhidmatan susulan peningkatan gaji minimum ini.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga ditugaskan untuk memantau perkara tersebut,” tambah kenyataan itu.

Dalam pada itu, rancangan untuk menaikkan gaji minimum ini juga terkandung di dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Pakatan Harapan (PH), di mana ia akan ditingkatkan kepada RM1,500 dalam tempoh lima tahun pemerintahan kerajaan baru.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker