AntarabangsaIsu Semasa

Pelbagai Negara Bimbang ‘Terperangkap’ Dengan Hutang China

Pada tahun 2013, Presiden China, Xi Jinping telah mengumumkan inisiatif “Belt and Road” yang akan menggabungkan 2/3 daripada populasi dunia menerusi pembinaan “Jalan Sutera Baru.”

Dengan memfokuskan 5 komponen iaitu infrastruktur, perdagangan, dasar, kewangan, dan penduduk, kerajaan China berhasrat untuk menghubungkan negara itu bersama 65 buah negara lain di Asia, Afrika, serta Eropah, menerusi laluan darat dan laut.

Bukan itu sahaja, malah China juga akan memberi pinjaman bernilai berbilion-bilion dolar kepada pelbagai negara yang turut serta dalam inisiatif ini.

Walau bagaimanapun, projek tersebut yang kini memasuki tahun kelima dilaporkan sedang mengalami beberapa halangan memandangkan terdapat sesetengah negara yang bimbang sekiranya mereka ‘terperangkap’ dengan beban hutang China yang tinggi dan tidak mampu membayarnya.

Namun, Xi tetap mempertahankan idea beliau sambil menegaskan bahawa “Belt and Road” ini adalah sebuah projek yang “terbuka dan inklusif”.

Ujar beliau, perdagangan China bersama negara-negara yang terlibat dalam inisiatif berkenaan telah mencecah AS$5 trilion (RM20.7 trilion), dengan nilai pelaburan langsung asing (FDI) melebihi AS$60 bilion (RM248 bilion)

Tetapi, sesetengah negara sudah mula terfikir sama ada kos ini akan berbaloi di kemudian hari atau tidak.

Ketika mengadakan lawatan rasmi ke Beijing pada bulan lepas, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, negaranya tidak akan meneruskan tiga projek yang disokong oleh China, termasuk pembinaan landasan keretapi bernilai AS$20 bilion (RM82.8 bilion).

Parti pimpinan Perdana Menteri baru Pakistan, Imran Khan pula telah berikrar untuk lebih telus mengenai keadaan ekonomi negara itu berikutan kebimbangan tentang keupayaan Pakistan dalam membayar semula pinjaman China yang berkaitan dengan Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC).

Sementara itu, pemimpin pembangkang Maldives, Mohamed Nasheed yang kini hidup dalam buangan berkata, tindakan China di kepulauan Lautan Hindi menyaksikan “rampasan tanah” dan “kolonialisme”, di mana 80% daripada hutang negara itu adalah hutang kepada China.

Sri Lanka pula telah terjejas teruk kerana sedang menanggung beban hutang yang tinggi kepada China.

Memetik laporan AFP, Sri Lanka terpaksa memajak pelabuhan strategiknya ke China selama tempoh 99 tahun kerana tidak mampu membayar semula wang yang dipinjam untuk sebuah projek bernilai AS$1.4 bilion (RM6.21 bilion).

Menurut Anne Stevenson-Yang, pengasas bersama dan pengarah penyelidikan di J Capital Research, China tidak kompeten dari segi birokrasi antarabangsa dalam memberi bantuan asing dan meluaskan kuasa lembut atau “soft power”.

Soft power merujuk kepada keupayaan sesebuah negara yang mengambil pendekatan persuasif untuk menjalinkan hubungan bersama negara lain menerusi pengaruh ekonomi dan budaya.

“Oleh itu, ia bukan sesuatu yang mengejutkan bahawa China tidak berapa mahir dalam perkara ini.

“Memandangkan mata wang yuan menjadi semakin lemah dan China pula dianggap sebagai rakan kongsi yang ‘tidak tentu’ di peringkat global, maka ia lebih cenderung bagi negara-negara lain untuk tidak berpuas hati terhadap projek-projek ini,” kata Stevenson-Yang.

Walaupun bantuan China ini diperlukan oleh negara-negara membangun untuk menaik taraf infrastruktur, sebuah pusat pemikir Amerika Syarikat (AS), Center for Global Development, meluahkan kebimbangannya ke atas hutang lapan buah negara yang menerima dana daripada projek Belt and Road tersebut.

Negara-negara berkenaan adalah Pakistan, Djibouti, Maldives, Mongolia, Laos, Montenegro, Tajikistan, dan Kyrgyzstan.

Berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh pusat pemikir itu, projek landasan keretapi China-Laos yang bernilai AS$6.7 bilion (RM27.7 bilion), merangkumi hampir separuh daripada Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNK) Laos.

Sementara itu, International Monetary Fund (IMF) pula memberi amaran bahawa Djibouti berhadapan risiko hutang yang terlalu tinggi memandangkan hutang awamnya telah meningkat daripada 50% (daripada jumlah KDNK) pada tahun 2014 kepada 85% pada tahun 2016.

Namun begitu, China menyelar dakwaan bahawa ia membebankan rakan-rakan dagangnya dengan beban hutang yang menyakitkan.

“Ia adalah tidak masuk akal untuk mengatakan bahawa wang yang datang daripada negara-negara Barat adalah baik dan manis, manakala wang yang datang dari China pula mempunyai unsur kejahatan dan perangkap,” tegas Menteri Luar China, Hua Chunying.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker