Isu SemasaMalaysiaTempatan

Hukuman Sebat Adalah Untuk Mendidik, Bukan Menzalimi

Pasangan kekasih lesbian yang ditahan oleh pihak berkuasa ketika cuba melakukan hubungan sejenis di dalam sebuah kereta di Dungun, Terengganu pada April lalu, telah disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman oleh hakim Mahkamah Tinggi Syariah negeri itu.

Difahamkan, dua orang pesalah yang berusia 32 dan 22 tahun itu dikenakan hukuman enam sebatan di hadapan lebih 150 orang awam, selain daripada bayaran denda bernilai RM3,300 setiap seorang.

Walaupun diberi peluang untuk membuat rayuan dalam tempoh 14 hari, kedua-dua pesalah tersebut tidak berbuat demikian sehingga tempoh tamat.

Ini juga merupakan kali pertama hukuman sebat dilaksanakan di negeri Terengganu.

Peguam Syarie dari Tetuan Atiqah Syafiqah & Associates, Syafiqah Abdul Razak menjelaskan bahawa hukuman yang dijatuhkan itu adalah bertepatan dengan Seksyen 125 dan Seksyen 126 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001.

Beliau berkata, kesalahan meliwat dan “musahaqah” (merujuk kepada hubungan sejenis wanita) merupakan antara kesalahan jenayah syariah, di mana hukuman boleh dijatuhkan ke atas pelakunya.

Walau bagaimanapun, terdapat segelintir aktivis hak asasi manusia yang menganggap perkara ini sebagai hukuman yang “tidak berperikemanusiaan”.

Tetapi, hukuman sebatan syariah ini tidak dilakukan dengan cara yang kejam dan terdapat pelbagai syarat yang perlu dipenuhi sebelum ia dilaksanakan.

Bukan itu sahaja, malah sebatan di bawah undang-undang syariah juga tidak sezalim dan tidak mencederakan pesalah seperti hukuman sebatan undang-undang sivil.

Menurut Syafiqah, hukuman ini bukan untuk sekadar menghukum pesalah semata-mata, tetapi tujuan utamanya adalah demi mendidik pesalah dan masyarakat supaya tidak mengulangi/melakukan kesalahan yang sama.

Mengulas tentang kehadiran orang awam yang menyaksikan pelaksanaan sebatan, beliau berpandangan bahawa ia langkah pencegahan awal supaya kesalahan hubungan sejenis ini tidak terus berulang.

“Proses ini adalah untuk mendidik masyarakat dengan ilmu yang benar berhubung jati diri serta kembali kepada diri fitrah perlu diteruskan supaya kesalahan seperti ini tidak berulang kembali,” katanya.

SYARAT-SYARAT PELAKSANAAN HUKUMAN SEBAT

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan syarat-syarat yang perlu dipatuhi sebelum pelaksanaan sebatan – (Sumber: Sinar Harian)

– Pesalah perlu memakai pakaian mengikut hukum syarak

– Sebelum dihukum, pesalah akan diperiksa oleh seorang Pegawai Perubatan Kerajaan untuk memastikan kesihatannya dalam keadaan baik untuk menjalani hukuman

– Jika pesalah sedang hamil, hukuman akan ditangguhkan sehingga tamat tempoh dua bulan selepas dia melahirkan anak, atau keguguran, mengikut mana-mana yang berkenaan

– Alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya, hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku

– Panjang alat sebatan tidak melebihi 1.22 meter, tebal tidak melebihi 1.25 sentimeter

– Tukang sebat yang melaksanakan hukuman hendaklah melakukan sebatan dengan kekuatan sederhana, tanpa mengangkat tangannya melebihi kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah

– Sebatan tidak boleh dikenakan ke atas muka, kepala, perut, dada, atau bahagian-bahagian sulit  

KJ TIDAK SETUJU SEBATAN DI KHALAYAK RAMAI

Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menyatakan menerusi lawan Twitternya bahawa beliau tidak bersetuju sebatan ke atas pesalah lesbian berkenaan dilaksanakan di khalayak ramai.

Beliau berkata, walaupun hukuman berkenaan sudah termaktub di bawah undang-undang Syariah, pelaksanaannya di khalayak ramai tidak wajar untuk dilakukan.

“Islam mengajar kita untuk menjaga maruah setiap manusia. Belas kasihan itu lebih baik dari hukuman,” jelasnya.

KEHADIRAN ORANG AWAM PERLU DIKAJI

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa turut berpandangan bahawa aspek kehadiran orang awam semasa hukuman dijalankan perlu diteliti semula.

“Ia perlu dilihat, sama ada orang awam boleh hadir sekali. Sama ada pegawai (pihak berkuasa) dua tiga orang sudah boleh dikira sebagai orang awam. Bagi saya itu proses teknikaliti dan boleh dibawa ke perdebatan,” katanya.

Menurut beliau, sekiranya terdapat pihak yang mahu membuat pindaan atas perkara tersebut, ia perlu dibawa mengikut undang-undang enakmen negeri masing-masing.

Dalam pada itu, Dr. Mujahid juga menjelaskan bahawa kaedah sebatan yang dilakukan di dalam Islam tidak menyakitkan dan ia adalah untuk memberi pengajaran.

“Selagi perkara itu dipatuhi dan ada peruntukan undang-undang, maka bagi saya itu satu proses undang-undang biasa yang dilalui oleh sesiapa yang melakukan jenayah.

“Kepada masyarakat, semua ini tentu dibuat untuk kebaikan. Orang Islam khususnya, sudah tahu mana-mana perkara yang dilarang dan sepatutnya mengambil hal ini sebagai pengajaran,” tegasnya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker