Isu SemasaPolitikTempatan

Berbeza Pandangan Jangan Sampai “Bercerai”

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu atau lebih mesra dikenali sebagai “Mat Sabu”, memberi peringatan kepada parti-parti komponen di bawah Pakatan Harapan (PH) untuk terus kekal bersatu walaupun mempunyai pandangan berbeza dalam beberapa isu, demi mengelak daripada berlakunya sebarang perpecahan.

Tegas beliau, ia tidak menjadi masalah untuk mempunyai pandangan atau pendapat yang berlainan, tetapi ia perkara itu tidak sepatutnya dijadikan sebagai punca ‘penceraian’ dalam kalangan parti komponen.

“Faktor utama yang membawa kepada kemenangan kita (PH) dalam PilihanĀ  Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu adalah gabungan PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dan Amanah.

“Kalau tambah parti lain pun tidak mengapa kerana ia menguatkan kita, tetapi jangan jadikan perbezaan menyebabkan kita bercerai,” katanya ketika berucap di Ceramah Pilihan Raya yang diadakan pada Isnin malam, sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Kandis yang akan berlangsung Sabtu ini.

Memetik laporan The Sun Daily, Mat Sabu yang juga Menteri Pertahanan turut menyeru para pengundi di Seri Setia untuk keluar menunaikan hak dan tanggungjawab mereka dalam PRK ini sambil menegaskan bahawa setiap kerusi/kawasan pilihan raya adalah penting bagi kerajaan pemerintah.

“Kadar keluar mengundi pada (PRK) Sungai Kandis adalah sekitar 49%, jadi kita ingin melihat peningkatan 60% di Seri Setia.

“Kita menjangkakan kemenangan di kawasan ini, tetapi kita masih mahu majoriti pengundi untuk keluar dan membuang undi agar ia menjadi peringatan kepada calon kami agar terus memberi tumpuan terhadap isu-isu yang berkaitan kawasan ini,” ujar beliau.

PRK Dun Seri Setia akan menyaksikan pertempuran di antara calon PH, Halimey Abu Bakar dan calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Dr. Halimah Ali.

Ia diadakan berikutan pemergian penyandangnya, Allahyarham Profesor Dr. Shaharuddin Badaruddin yang meninggal dunia akibat kanser kolon pada 2 Ogos lalu.

Dalam pada itu, PRK Balakong juga akan diadakan secara serentak pada hari yang sama.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker