Isu SemasaMalaysiaTempatan

SST Tidak Dikenakan Ke Atas Perkhidmatan Pengangkutan Udara Sabah & Sarawak

Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) telah mula dilaksanakan pada Sabtu, 1 September baru-baru ini bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan pada 1 Jun lalu.

Walau bagaimanapun, perkhidmatan pengangkutan udara di Sabah dan Sarawak akan dikecualikan daripada SST memandangkan ia adalah mod pengangkutan yang penting bagi penduduk di kedua-dua negeri berkenaan.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pengecualian ini adalah keistimewaan yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira faktor struktur muka buminya yang amat luas.

“Sabah dan Sarawak amat luas dan besar. (Oleh itu), sistem pengangkutan udara adalah sangat kritikal dan penting.

“Sebab itu cukai (bagi pengangkutan udara) dikecualikan,” katanya selepas menghadiri taklimat dan forum pelaksanaan SST yang dianjurkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada Ahad.

Memetik laporan Bernama, Lim turut menyifatkan langkah yang diambil oleh kerajaan ini sebagai mungkin ‘mengejutkan’ kerana perkhidmatan pengangkutan udara dikenakan cukai di bawah pelaksanaan sistem GST.

Mengulas tentang sesi taklimat itu, beliau menyatakan bahawa ia merupakan peluang bagi kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan, untuk mendapatkan pandangan orang ramai mengenai pelaksanaan SST.

Ujar Lim, berdasarkan maklum balas yang telah diterima, kerajaan bersedia untuk mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi membuat pindaan ke atas mana-mana perkara yang mungkin tidak sesuai dengan penerimaan rakyat.

Tambah beliau, sebarang pindaan terhadap cukai SST akan dilakukan pada hujung tahun ini.

“Kebajikan ekonomi rakyat adalah lebih penting daripada bercakap mengenai soal menaikkan cukai. Saya tidak mengatakan cukai itu tidak penting.

“Ia dalah penting, tetapi dalam konteks yang lebih luas, anda akan saksikan bahawa kesejahteraan ekonomi rakyat adalah lebih penting.

“Apa gunanya memperolehi kutipan cukai yang banyak jika rakyat menderita. Dan kita tahu bahawa inilah (rakyat menderita) yang dilakukan GST kepada rakyat,” tegasnya.

Dalam pada itu Lim berkata, rakyat mungkin akan merasai beban pelaksanaan SST, namun ia tetap lebih ringan berbanding era GST.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker