Uncategorized @ms

10 Fakta Menarik Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018

Sukan Asia yang menutup tirainya semalam telah menyaksikan tuan rumah, Indonesia melepasi sasaran pungutan pingat mereka dan menduduki tangga ke-4 selepas China, Jepun dan Korea Selatan. Pasukan tanah air pula berada di tangga ke-14 walaupun mencapai sasaran tujuh pingat emas.

Acara pembukaan dan penutupan Sukan Asia mereka telah memukau ramai penonton yang hadir serta lebih 11 ribu orang atlet dari 45 negara yang menyertai Sukan Asia kali ini.

Jika anda terlepas menonton Sukan Asia 2018, kami akan berikan beberapa fakta menarik tentang Asian Games Jakarta-Palembang kali ini.

  1. Indonesia menggantikan Vietnam sebagai tuan rumah Sukan Asia 2018

Pada tahun 2012, Hanoi, Vietnam sebenarnya terpilih menjadi tuan rumah Sukan Asia 2018 mengalahkan Surabaya, Indonesia dan Dubai. Namun mereka telah menarik diri pada tahun 2014 dan kemudiannya Indonesia dipilih sebagai pengganti oleh Olympic Council of Asia (OCA).

Walaupun notis untuk menjadi tuan rumah lebih kurang 4 tahun sahaja tetapi menurut akhbar TheStar, mereka telah mengendalikan acara ini tanpa sebarang permasalahan yang ketara. Kebajikan para atlet serta sokongan beribu para media semua terjaga. Tambahan dengan sukarelawan yang sentiasa ringan tangan membantu dengan senyuman serta petugas keamanan yang cekap untuk menangani masalah kecil.

2. Daripada Surabaya ke Jakarta dan Palembang

Menurut laman web quipper.com, Indonesia mengajukan kota Surabaya untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia pada tahun 2012 dan kalah pungutan suara setelah Hanoi tetapi oleh sebab Surabaya sedang mempersiapkan diri untuk menjadi tuan rumah Asian Youth Games 2021, ibu kota Jakarta menjadi pengganti acara ini.

Pemilihan Jakarta dilakukan kerana kota ini sudah mempunyai kemudahan sukan yang lengkap dan jaringan pengangkutan yang baik serta penginapan di taraf antarabangsa. Sementara Palembang pula dijadikan kota untuk menyokong penyelenggaraan Sukan Asia 2018.

3. Kali kedua menjadi tuan rumah tapi pertama kali menganjurkannya di dua kota berbeza

Penganjuran Sukan Asia kali pertama diadakan di Indonesia ialah 56 tahun yang lalu pada tahun 1962 tetapi ini adalah pertama kali di dalam sejarah ia dilakukan dalam dua kota yang berlainan.

Walaupun sebagian besar pertandingan telah diadakan di Jakarta dan Palembang, beberapa tempat acara juga diadakan di di kota lain seperti Stadion (Stadium) Jalak Harupat di Bandung, Stadion (Stadium)  Pakansari di Bogor, hingga Bendung Rentang di Majalengka. Manakala acara pembukaan dan penutupan Sukan Asia 2018 akan diadakan di Stadion (Stadium) Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.

4. 10 Sukan baharu dipertandingkan

Daripada 40 sukan yang dipertandingkan di Sukan Asia 2018, terdapat 10 acara baharu. Antaranya ialah Rollersport (Rollerskate dan Skateboarding), Bridge, 3 on 3 Basketball, Jet Ski, Sport Climbing, Paragliding, Pencak Silat, Jiu Jitsu, Sambo, dan Kurash.

Apa yang lebih menarik ialah eSports tetapi ianya hanya demonstrasi dan tidak dimasukkan di dalam kutipan medal.. Selain eSports, Kano Polo juga menjadi sukan demonstrasi.

5. Tiga maskot Sukan Asia Jakarta Palembang 2018

Mereka adalah Bhin Bhin, Kaka, dan Atung. Ketiga-tiga maskot ini mempunyai maksud yang unik, dari bentuk hingga pakaian yang digunakan.

Bhin Bhin adalah seekor burung Cendrawasih (Paradisaea Apoda) yang melambangkan strategi. Bhin Bhin mengenakan rompi dengan corak Asmat khas dari negeri Papua.

Sementara Kaka adalah badak bercula satu (Rhinoceros Sondaicus) yang melambangkan kekuatan, dengan pakaian tradisional bercorak bunga khas Palembang.

Maskot terakhir, Atung adalah seekor rusa bawean (Hyelaphus Kuhlii) yang melambangkan kecepatan. Atung juga memakai sarung dengan corak tumpal dari Jakarta.

Patung-patung maskot ini diberikan kepada para pemenang tetapi turut dijual kepada para peminat. Mungkin para penganjur tidak menyangka ramai yang ingin memiliki patung-patung tersebut sebagai kenangan Sukan Asia 2018, oleh itu kiosk menjualnya tidak begitu banyak sehingga orang ramai harus beratur panjang untuk mendapatkannya. Akhirnya kebanyakan kiosk kehabisan stok patung maskot haiwan comel ini.

6. Api obor Sukan Asia bermula dari India

Api obor Sukan Asia yang digunakan di Indonesia bermula di New Delhi, India dan Mrapen (Grobogan). Api diambil dari India karena Sukan Asia edisi pertama digelar di negara tersebut pada 1951.

Obor itu telah mengharungi perjalanan sejauh 18,000km melintasi 58 bandar raya di 18 wilayah di seluruh Indonesia sebelum tiba di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta pada upacara perasmian, 18 Ogos 2018.

7. Penantian emas 24 tahun berakhir.

Pasukan sepak takraw Malaysia akhirnya menamatkan kemarau 24 tahun pingat emas sukan takraw di Sukan Asia . Malaysia telah muncul juara setelah mengalahkan pasukan Indonesia dalam regu lelaki di Jakabaring Sports City.

Walaupun ia kelihatan laluan mudah untuk pasukan Malaysia memenanginya kerana ketiadaan negara Thailand di dalam acara tersebut, tetapi ia sebenarnya bukan laluan mudah untuk pasukan negara mengharunginya. Malaysia kalah pada set pertama dan bangkit untuk memenangi set kedua dengan kemenangan 22-20.

8. Fauzi Kaman Shah menjadi atlet Malaysia paling muda memenangi emas

Fauzi memenangi emas dalam sukan layar. Beliau memenangi 7 daripada 12 perlawanan dan sudah pasti menggenggam pingat emas tersebut dua hari sebelum pertandingan akhir.

Fauzi yang bakal menerima RM80,000 sebagai insentif oleh Majlis Sukan Negara sangat berterima kasih kepada ibunya yang menyokong usahanya sejak 8 tahun dan ingin menghadiahkan ibunya ke Mekah untuk menjalankan ibadah umrah.

9. Pasukan squasy negara meraih emas ke-tujuh Malaysia

Mohd Nafizwan Adnan, Ng Eain Yow dan Ivan Yuen tidak dijangkakan bakal menang tetapi mereka telah berjuang habis-habisan untuk mengalahkan pasukan handal dari Hong Kong 2-1 pada pertandingan akhir di Stadium Squash Gelora Bung Karno.

10. 18 Artis menghiburkan acara penutupan Asian Games 2018

Sebanyak 18 penyanyi terkenal telah menghiburkan pada atlet dan penonton di stadium dan di rumah pada upacara penutupan Sukan Asia 2018 yang gilang-gemiling. Antaranya ialah dua kumpulan artis K-pop terkenal iaitu Super Junior dan IKON.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker