AntarabangsaAsiaIsu Semasa

Filem “Top Gun” Jadi Inspirasi Juruterbang Jet Pejuang Wanita Pertama Jepun

Dengan menjadikan filem blokbuster Hollywood “Top Gun” sebagai inspirasi, seorang wanita warga Jepun melakar sejarah baru apabila menjadi juruterbang pesawat tempur wanita yang pertama di negara itu.

Memetik laporan AFP, Leftenan Muda Misa Matsushima daripada Japan Air Self Defence Force (Pasukan Pertahanan Diri Udara Jepun) telah menamatkan latihannya menerbangkan jet pejuang F-15 pada Rabu, 22 Ogos bulan lepas, dan memulakan tugasnya sebagai juruterbang secara rasmi dua hari kemudian.

“Sejak saya mula menonton filem Top Gun ketika zaman sekolah rendah, saya telah sentiasa menyanjungi juruterbang-juruterbang jet pejuang.

“Saya akan terus bekerja keras untuk melaksanakan tugas saya, bukan hanya untuk diri saya sendiri, tetapi juga demi semua wanita yang akan memilih haluan ini pada masa akan datang,” kata wanita berusia 26 tahun itu.

Difahamkan pada tahun 1993, kaum wanita dibenarkan untuk memohon semua jawatan di dalam pasukan tentera udara Jepun, kecuali jawatan juruterbang jet pejuang dan pesawat peninjau yang hanya terbuka kepada golongan lelaki.

Namun larangan itu telah dimansuhkan pada tahun 2015, sebahagian daripada rancangan Perdana Menteri, Shinzo Abe untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi wanita.

Walaupun Matsushima pada asalnya hanya hendak menjadi juruterbang pesawat pengangkut, pemansuhan sekatan jantina yang dilakukan oleh Abe telah membuka laluan untuk beliau menyertai kumpulan elit juruterbang jet pejuang di negara itu.

Namun begitu, jumlah kaum hawa yang berkhidmat di dalam tentera Jepun amat sedikit, iaitu 6.4% daripada keseluruhan 228,000 anggota.

Tetapi, Pasukan Pertahanan Diri bercadang untuk meningkatkan bilangan wanita yang berkhidmat dalam pasukan udara, laut, dan darat pada kadar 9% menjelang tahun 2030.

Sementara itu pada bulan Mac, seorang wanita tempatan, iaitu Komander Ryoko Azuma, turut melakar sejarahnya tersendiri apabila dilantik menjadi wanita pertama di Jepun untuk mengetuai skuadron kapal perang tentera laut.

Tentera laut di negara “Matahari terbit” tersebut juga kini dilihat semakin terbuka untuk mengambil wanita sebagai kakitangan berikutan krisis kekurangan pekerja yang dihadapi oleh Jepun.

Komander Azuma kini mengetuai empat buah kapal perang yang merangkumi kira-kira 1,000 orang krew, namun hanya 30 daripada jumlah itu adalah golongan wanita.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker