BudayaGaya Hidup

Apa Maksud “Rolex” di Uganda?

Seperti yang diketahui umum, Rolex adalah jenama jam tangan mewah yang tidak lagi asing. Namun apabila orang bercakap tentang Rolex di Uganda, ia bukan bermaksud jam tangan mewah.

Oleh itu, jika anda mengikuti festival tahunan Rolex di Kampala, ibu negara Uganda, anda tidak akan menemui sebarang gerai yang menjual jam jenama mewah itu.

Di Uganda, Rolex adalah makanan ringan kegemaran rakyat. Ia adalah sandwic yang dibuat daripada telur dadar dan roti chapati.

Related image

Mengapakah makanan ini dipanggil Rolex? Nama Rolex sebenarnya datang daripada perkataan “rolled eggs”.

Penganjur festival Rolex yang telah diadakan untuk kali ketiga pada 19 Ogos lalu, berharap dapat mengubah persepsi terhadap Rolex yang dianggap makanan untuk rakyat miskin menjadi tarikan pelancongan.

“Rolex adalah makanan istimewa di Uganda,” kata pegawai Lembaga Pelancongan Patrick Muhire kepada AFP.

Rolex disediakan dengan menggulung chapati dan telur dadar bersama dengan sayur-sayuran seperti tomato, bawang dan kubis yang memakan masa selama 5 minit untuk disediakan. Ia dijual dengan harga 2,000 UGS dan mudah didapati di gerai tepi jalan di Kampala dan bandar lain di Uganda.

Hidangan yang berasal dari bandar Bulaga timur, dengan cepat menjadi popular dalam kalangan pelajar di Makerere University di Kampala. Juadah ini bukan sahaja mengenyangkan, tetapi juga sangat berpatutan.

“Kebanyakan orang menganggapnya sebagai makanan orang miskin. Tetapi dengan penganjuran festival ini, Rolex makin diterima oleh golongan elit sebagai makanan istimewa negara,” kata Muhire.

“Sejak kita menganjurkan festival tahunan Rolex, terdapat restoran dan hotel yang turut menyajikan sandwic terbabit dalam menu mereka,” katanya.

Related image

Terdapat banyak variasi Rolex berdasarkan daerah. Di timur Uganda, misalnya, rebung dicampur dengan chapati, sementara di utara, sayur-sayuran yang dimasak turut dimakan bersama sandwic itu.

Rolex datang dalam pelbagai saiz, termasuk “Swazzneggar Rolex”, saiz paling besar yang menggunakan antara enam dan 10 telur dan cukup besar untuk dimakan seluruh keluarga. Ia dinamakan sempena Arnold Schwarzenegger, pelakon berbadan sasa dari Hollywood.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker