Isu SemasaPolitikTempatan

Persidangan Dewan Rakyat Tidak Perlu Berlarutan Sehingga Lewat Malam

Persidangan Dewan Rakyat yang berlanjutan sehingga lewat tengah malam merupakan “perkara biasa” yang dilalui oleh setiap Ahli Parlimen, lebih-lebih lagi jika ia membabitkan perbahasan dan kelulusan sesuatu rang undang-undang (RUU).

Malah, kerap kali juga berlaku keadaan di mana persidangan berlangsung sehingga jam 2 pagi dan 4 pagi, dan ini situasi ini ternyata menguji ketahanan anggota-anggota dewan.

Perkara ini sekali gus membuktikan bahawa memikul tugas dan tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat bukanlah satu perkara yang mudah.

Walau bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof bercadang untuk mengehadkan tempoh persidangan dalam usaha memastikan kecekapan dan kualiti perbahasan.

Menyifatkan perbahasan mengenai sesuatu isu dalam tempoh yang terlalu lama sebagai perkara yang “tidak masuk akal”, Mohamad Ariff menyatakan bahawa tempoh yang munasabah untuk menamatkan persidangan adalah di antara jam 8:30 atau 9:30 malam.

Dalam satu kenyataan pada bulan lepas, beliau juga menegaskan bahawa Parlimen adalah institusi penggubalan undang-undang, dan bukannya satu kumpulan debat.

“Saya bercakap mengenai kecekapan, kelajuan, dan kualiti. Kecekapan mestilah sesuai dengan kualiti,” katanya.

Demi memastikan prosiding yang lebih berkesan, Mohamad Arif turut mencadangkan penubuhan pelbagai pelbagai jawatan kuasa terpilih dan ‘Kabinet bayangan’.

APA ITU KABINET BAYANGAN?

Kabinet bayangan adalah sebuah institusi yang dibentuk dan dikendalikan oleh barisan parti pembangkang di dalam Parlimen.

Ia berfungsi sebagai “check and balance” atau semak dan imbang ke atas pentadbiran barisan Jemaah Menteri kerajaan pemerintah.

Dalam pada itu, barisan Kabinet bayangan juga dibentuk seiring dengan barisan Kabinet kerajaan, mengikut portfolio-portfolio kementerian yang ada.

Sebagai contoh, Menteri bagi Kementerian Pertahanan adalah Ahli Parlimen daripada parti kerajaan pemerintah.

Maka, Kabinet bayangan juga akan melantik seorang Ahli Parlimen pembangkang yang bertanggungjawab memegang portfolio Pertahanan bagi melakukan semak dan imbang ke atas dasar-dasar yang dilaksanakan oleh ‘rakan sejawatannya’ daripada pihak kerajaan.

KUALITI PERBAHASAN AKAN BERTAMBAH BAIK

Sementara itu Mohamad Ariff berkata, ahli-ahli jawatankuasa terpilih juga boleh dijemput untuk menyediakan input atau maklumat mengenai sesuatu isu itu demi manfaat ahli parlimen yang kurang mahir dalam sesuatu bidang itu.

“Itulah yang sepatutnya berlaku, tidak seperti apa yang kita lihat setakat ini, di mana beberapa individu berdepan masalah untuk melihat klausa bagi memperbaiki undang-undang,” katanya.

Tegas beliau, penubuhan Kabinet bayangan adalah langkah yang terbaik bagi membantu mengurangkan masa perbahasan di Dewan Rakyat serta menjamin kualiti perdebatan yang lebih baik.

“Itulah sebabnya saya percaya ia adalah idea yang bagus untuk mempunyai Kabinet bayangan…Sekurang-kurangnya sebagai Speaker, jika ada sesuatu masalah timbul, saya tidak perlu tercari-cari siapa yang perlu menjawab terlebih dahulu,” katanya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker