Amerika SyarikatAntarabangsaAsiaIsu SemasaPolitik

Tukang Tilik China Ramal Langkah Trump Dalam Perang Dagang?

Pakar kewangan dan ekonomi memainkan peranan penting dalam meramal dan mengikuti perkembangan perang dagang Amerika Syarikat (AS) dan China berlandaskan fakta semasa.

Walau bagaimanapun, keadaan adalah berbeza di China apabila ramai rakyat di negara itu sebaliknya berjumpa dengan tukang tilik untuk meramal langkah seterusnya yang akan diambil oleh Presiden AS, Donald Trump.

Sekiranya berlaku perang dagang berskala penuh di antara kedua-dua kuasa dunia itu, ekonomi global akan terjejas dengan teruk.

Selain daripada ketidaktentuan ekonomi China, rakyatnya turut meluahkan kebimbangan ke atas kehidupan seharian mereka yang dijangka akan terjejas akibat konflik dagang ini.

Hal ini sekali gus menyebabkan mereka pergi berjumpa dengan pelbagai pihak untuk mendapatkan nasihat kewangan, termasuk tukang tilik.

Antara nasihat/pandangan yang diminta adalah:

1. Di mana tempat yang terbaik untuk melakukan pelaburan

2. Bagaimana untuk menjalankan/meneruskan perniagaan 

3. Patut atau tidak mereka berpindah ke AS untuk kehidupan yang baik

Lapor Reuters, dengan hanya berbekalkan gambar serta tarikh lahir Trump, tukang tilik sudah boleh mengetahui langkah-langkah yang akan diambil oleh Trump di dalam perang dagang ini.

Menurut seorang tukang tilik bernama Victor Ng, beliau selalunya menggunakan tarikh dan waktu lahir para pelanggannya untuk mendapatkan ‘petunjuk’.

Namun memandangkan perang dagang AS-China sedang berlaku, Victor telah ‘menaik taraf’ caranya untuk melakukan tilikan.

“Disebabkan perang dagang AS-China masih sedang berlangsung, saya juga akan melihat nasib pemimpin-pemimpin AS dan China.

“Sebagai contoh, tarikh lahir Presiden Xi Jinping dan Donald Trump. Dengan cara inilah kami meneliti keadaan semasa,” katanya.

Sementara itu, tukang tilik di bandar Xi’an, Xie Xianglin pula berkata, semakin ramai orang telah datang kepadanya untuk mendapatkan ramalan mengenai masa depan perang dagang ini.

Jelas Xie, majoriti pelanggannya adalah dari kalangan usahawan dan pelabur, dan beliau mengenakan bayaran sebanyak 500 yuan untuk (RM300) untuk melakukan tilikan.

“Tujuh orang telah bertanya tentang pelaburan dan juga trend emigrasi,” tambah beliau.

Difahamkan, mempercayai ramalan telah menjadi satu tradisi di China dalam usaha mendapatkan jawapan atau jalan penyelesaian ketika sedang berada dalam keadaan ragu-ragu, memerlukan, atau ketika berlakunya huru-hara.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker