Isu SemasaMalaysiaTempatan

“Mengubah Mentaliti Lebih Sukar Daripada Menukar Kerajaan”

Walaupun negara sudah melangkah ke dalam era “Malaysia Baru” berikutan kemenangan bersejarah Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), mentaliti masyarakat masih belum mengalami perubahan yang seperti yang diinginkan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, usaha untuk mengubah mentaliti rakyat Malaysia ke arah yang lebih baik adalah satu perkara yang lebih sukar dilakukan berbanding menukar kerajaan.

Oleh yang demikian, beliau berikrar untuk mengambil langkah pertama melakukan perubahan ini dengan sektor perkhidmatan awam.

“Mengubah kerajaan adalah mudah, mengubah pemikiran adalah yang paling sukar,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Memetik laporan The Star, Yeoh menyatakan bahawa versi Malaysia yang baru tidak sepatutnya memecah-belahkan orang ramai, dan beliau berhasrat untuk mencapai matlamat ini dengan mengubah pemikiran perkhidmatan awam dahulu.

“Saya sedang cuba untuk menjadikan mereka lebih baik, mencabar mereka untuk berfikir di luar kotak dan melakukan perkara dengan cara yang berbeza.

“Tetapi, ia akan memakan masa,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Segambut turut berkata, Malaysia mempunyai ruang yang cukup untuk semua orang “bersetuju untuk tidak bersetuju” (agree to disagree) dari segi kepelbagaian pandangan.

“Harapan saya adalah agar kita dapat hidup bersama tanpa ‘melabel’ antara satu sama lain.

“Apabila saya memberitahu orang Melayu yang saya boleh cakap Bahasa Melayu, mereka terkejut apabila seorang individu Cina boleh cakap Bahasa Melayu.

“Tetapi apabila saya memberitahu orang Cina yang saya tidak pandai bercakap dalam bahasa Mandarin, mereka terkejut kerana seorang individu Cina tidak boleh cakap Mandarin,” ujarnya.

Dalam pada itu, tegas Yeoh, rakyat Malaysia perlu menzahirkan kebanggaan mereka dengan Malaysia yang baru secara inklusif, sama ada menerusi filem, penulisan, atau sebarang bentuk rancangan.

Beliau berkata, terdapat ramai individu di dalam kerajaan yang akan terus menjadi ‘suara’ mewakili seluruh rakyat Malaysia.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker