Sukan

Atlet Profesional Esukan Di Malaysia Sukar Cari Makan

Kurangnya bilangan penajaan tempatan telah menghalang eSukan daripada menjadi pilihan pekerjaan yang boleh menjamin masa depan di negara ini, kata seorang gamer kompetitif Malaysia yang baru-baru ini memenangi hadiah wang tunai bernilai AS$4 juta (RM16.47 juta) melalui satu pertandingan.

Yap Jian Wei, salah seorang ahli PSG LGD yang memenangi hadiah wang tunai di pertandingan Kejuaraan Dota2 The International 2018 baru-baru ini, berkata atlet eSukan Malaysia sebaliknya lebih suka menyertai pasukan dari luar negara.

“Saya rasa eSukan di Malaysia sedang berkembang tetapi ianya masih tidak cukup bagus untuk pemain menjadikan ia sebagai pilihan kerjaya,” ujar pemain berusia 21 tahun itu kepada The Star pada hari Selasa.

Yap yang juga dikenali sebagai xNova turut berkata lebih banyak yang perlu dilakukan jika rakyat Malaysia mahu menjadi atlet eSukan, termasuk penajaan daripada syarikat-syarikat swasta, ataupun kerajaan, untuk mewujudkan pasukan yang boleh bersaing di peringkat antarabangsa.

“Sangat sukar bagi peserta-peserta baru untuk menjana pendapatan di Malaysia pada waktu ini,” tambahnya.

Walau bagaimanapun, Yap mengakui terdapat usaha bagi mempromosi eSukan di negara ini.

“Ianya bagus apabila kerajaan menjadi tuan rumah kepada pertandingan seperti Cyber Games Malaysia,” ujarnya, sambil menambah ia lebih baik jika terdapat usaha untuk menarik lebih banyak penyertaan.

Yap merupakan salah seorang ahli daripada kumpulan yang berjaya menduduki tempat kedua di The Internatioanal 2018, di mana Team OG muncul sebagai juara.

Yap, seorang gamer profesional sejak 2013, adalah satu-satunya rakyat Malaysia di dalam pasukan yang ditubuhkan di China itu.

Dia juga berkata dia berbangga kerana pasukannya berjaya ke peringkat akhir dan berterima kasih kepada penyokong dan peminat yang berjaga lewat pada hujung minggu itu untuk menyaksikan perlawanan tersebut, yang di adakan di Vancouver, Kanada.

Yap berkata dia dan pasukannya akan berehat sebentar sebelum berkumpul semula bagi merancang dan berlatih untuk pertandingan tahun hadapan.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di dalam beberapa siri tweetnya, berkata terdapat ramai bakat eSukan di negara ini.

Mengakui pencapaian Yap sebagai “Malam yang hebat buat peminat eSukan di Malaysia”, dia juga turut menyatakan terdapat rakyat Malaysia lain yang berjaya di dalam eSukan di peringkat antarabangsa.

“Dua orang pemain PUBG dari Malaysia, John Choo dan Yin Wai dari pasukan Awful Skuad, telah melayakan diri ke Broadcaster Royale Grand Final di Seattle.

“Bukan sahaja Dota 2 dan PUBG, atlet Malaysia Keron dan Haikal (Muhamad Khairul Abdul Aziz dan Mohamad Norhaikal Mohamad Noh) turut melayakan diri di dalam acara eSukan di Sukan Asia Jakarta menerusi kategori PES 2018 yang akan berlangsung pada 1 September,” menurut tweet Syed Saddiq.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker