Isu SemasaPolitikTempatan

SPR Akan Ambil Alih Peranan RoS Daftar Parti Politik?

Baru-baru ini, terdapat cadangan untuk memberi tugas mendaftar parti politik yang kini di bawah bidang kuasa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Cadangan ini merupakan sebahagian daripada kerangka undang-undang di dalam agenda pembaikan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan undang-undang Pilihanraya (ERC).

Difahamkan, sebanyak 15 agenda pembaikan yang akan dilaksanakan oleh jawatankuasa berkenaan.

Menurut Pengerusi ERC, Tan Sri Abdul Rashid Rahman, cadangan yang sedang dikaji oleh pihaknya ini bertujuan untuk menjadikan SPR sebagai satu organisasi yang kukuh dan dapat menyediakan proses pilihan raya yang boleh dipercayai.

Memetik laporan media tempatan, beliau menyatakan bahawa jika SPR mengambil alih peranan untuk mendaftar parti politik, maka suruhanjaya berkenaan juga akan memikul tanggungjawab mengawal selia parti tersebut.

“SPR juga dicadangkan diberikan undang-undang bagi menguatkuasakan pematuhan parti serta calon pilihanraya,” katanya.

Berikut adalah cadangan keseluruhan 15 agenda pembaikan yang kini masih berada di peringkat kajian – (Sumber: Astro Awani)

 

1. Mengkaji sistem-sistem pilihanraya yang sesuai sebagai langkah pembaikan, kepada sistem “first-past-the-post” yang sedia ada, sekiranya perlu.

2. Menubuhkan kerangka undang-undang yang sesuai untuk penubuhan sebuah badan pengurusan pilihan raya yang teguh dan sempurna.

3. Mewujudkan kerangka undang-undang yang sesuai untuk diguna pakai bagi melaksanakan tugas-tugaspersempadanan bahagian-bahagian pilihanraya dan hal-hal yang berkaitan dengannya.

4. Mengkaji kaedah pendaftaran pemilih, termasuk kelayakan-kelayakan untuk menjadi pemilih dan kaedah yang terbaik bagi penyediaan daftar-daftar pemilih yang kemas dan sempurna.

5. Mewujudkan kerangka undang-undang untukmendaftar dan mengawal-selia parti-parti politik dan badan-badan atau pihak yang layak untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya atau aktiviti-aktiviti yang bersangkutan dengannya.

6. Mengadakan kerangka undang-undang untukmewujudkan mekanisma bagi menjalankan kempen, kawalan kempen dan kod etika yang perlu wujud dalam pilihan raya.

7. Perbelanjaan Pilihanraya melibatkan pertama, kewangan dan perbelanjaan kempen, kebenaran, kawalan dan penguatkuasaan, kedua, Sumbangan kerajaan atau awam, dan ketiga, sumbangan swasta dan masyarakat.

8. Kerangka undang-undang mengawal kebebasan bersuara dan peranan serta akses kepada media awam dan swasta.

9. Menyediakan kerangka undang-undang meliputi proses perjalanan pilihanraya termasuk pembubaran Dewan-dewan Perundangan dan penetapan tarikh-tarikh pilihanraya, penamaan calon, pengundian, pengiraan dan penjumlahan undi, serta pengistiharan keputusan pilihan raya.

10. Code of Conduct atau panduan tata kelakuanparti-parti politik dan calon-calon dalam musim pilihan raya.

11. Kerangka undang-undang meliputi urusan pemerhati pilihanraya tempatan dan antarabangsa.

12. Kerangka undang-undang meliputi bidang penguatkuasaan undang-undang oleh badan pentadbiran pilihanraya dan ketaatan pihak partidan calon-calon.

13. Kerangka undang-undang mengenai peraturandan tatacara penubuhan kerajaan sementara selepas pembubaran Parlimen dan/ atau Dewan-dewan Perundangan Negeri.

14. Kerangka undang-undang mengenai pendaftaran parti-parti politik dan kawalan ke atas aktiviti parti politik

15. Kerangka undang-undang meliputi kerjasama dan pengambilan bahagian badan-badan lain, termasuk Awam dan Swasta meliputi hal ehwal keselamatan, penguatkuasaan undang-undang, ketaatan pihak-pihak yang berkepentingan kepada peraturan dan undang-undang, serta keadaan keselamatan dan darurat.

Oleh yang demikian, apa pandangan anda mengenai agenda-agenda pembaikan ini?

Adakah langkah ini mampu menjadikan SPR sebagai sebuah organisasi pilihan raya yang lebih kukuh?

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker