Isu SemasaMalaysiaTempatan

Pemandu Teksi Akan Dibantu Untuk Memiliki Kenderaan Sendiri

Kementerian Pengangkutan sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan bagi mencari jalan yang terbaik untuk membantu pemandu teksi individu yang mengalami kesukaran mendapatkan pinjaman untuk membeli kenderaan teksi mereka sendiri.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau telah menerima banyak permohonan bantuan daripada pemandu-pemandu teksi yang sedang mengalami masalah tersebut.

“Mereka rasa bahawa selain daripada memiliki permit sendiri, ia adalah lebih baik jika mereka mampu memiliki teksi sendiri.

“Ini akan sangat membantu mereka dari segi pendapatan memandangkan mereka tidak perlu membayar sewa teksi lagi,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Khamis.

Memetik laporan media tempatan, Loke menyatakan bahawa beliau telah pun membawa perkara ini kepada Jemaah Menteri (Kabinet).

“Kita sedang mencari jalan yang terbaik untuk membantu mereka,” tambah beliau lagi.

Ujar loke, pemberian lesen teksi individu juga akan menjamin kebajikan pemandu dalam mengelak beban kewangan membayar pajakan kereta kepada syarikat, sekali gus memberi peluang kepada pemandu menabung demi untuk masa depan.

“Sebelum ini dalam sistem pajak, mereka kena potong untuk sewa kereta, sewa permit dan sebagainya. Kalau mereka ada permit sendiri, mereka cuma bayar hanya ansuran kereta, tidak perlu membayar kepada pihak ketiga.

“Ia sekali gus memberi pendapatan kepada mereka, dan mereka dapat menikmati pendapatan tanpa potongan yang tinggi.”

Menurut beliau, penerima lesen individu juga akan diberi geran tunai kerajaan bernilai RM5,000 bagi membantu mereka membeli kenderaan baharu.

Difahamkan buat masa ini, syarikat-syarikat teksi menawarkan sistem penyewaan, di mana mereka akan membantu pemandu-pemandu teksi yang memegang permit individu untuk mendapatkan teksi menerusi kontrak.

Apabila tempoh kontrak tamat, pemegang permit berkenaan akan memiliki kenderaan teksi itu.

Walau bagaimanapun, sistem tersebut dilihat lebih memberi manfaat kepada syarikat-syarikat teksi, dan kurang memfokuskan kebajikan pemandu memandangkan mereka perlu membayar sewa setiap hari untuk memandu teksi.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru pemandu-pemandu teksi supaya menyesuaikan diri dengan perkhidmatan e-hailing untuk terus kekal relevan dalam industri ini.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker