AntarabangsaAsiaIsu Semasa

China Lancar Platform Canggih Tangani Berita Palsu

Pada Rabu, 29 Ogos 2018, kerajaan China telah melancarkan sebuah laman sesawang yang dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) untuk mengenal pasti berita palsu.

Pelancaran platform yang dikenali sebagai “Piyao” (bermaksud membantah khabar angin) ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan bagi meningkatkan pengawasan dan pemantauan ke atas Internet, khususnya laman-laman media sosial yang digunakan oleh orang ramai untuk membincangkan isu politik serta topik-topik sensitif yang lain.

Selain daripada laman sesawang, Piyao juga datang dalam bentuk aplikasi telefon pintar dan mempunyai akaun media sosial bersama aplikasi-aplikasi gergasi, iaitu Weibo dan WeChat.

Walaupun dilengkapi dengan teknologi AI, orang ramai juga boleh menggunakan platform ini untuk melaporkan kewujudan sebarang khabar angin atau berita palsu di atas talian (online) kepada pihak berkuasa.

Memetik laporan Reuters, Piyao juga akan menyiarkan berita-berita “sahih”, yang dilaporkan daripada syarikat-syarikat media milik kerajaan, akhbar yang dikawal oleh parti pemerintah, serta pelbagai agensi kerajaan.

“Khabar angin melanggar hak individu; khabar angin mencetuskan panik; khabar angin menyebabkan ketidaktentuan pasaran saham, khabar angin menjejaskan operasi perniagaan: khabar angin juga menyerang golongan ‘syahid’ secara terang-terangan,” kata Piyao dalam video promosinya ketika pelancaran laman sesawang itu.

Berdasarkan data rasmi, pihak berkuasa pengawal selia Internet di China menerima 6.7 juta laporan berita palsu pada bulan Julai tahun ini.

Di bawah undang-undang China, individu yang mewujudkan khabar angin boleh didakwa melakukan kesalahan fitnah, dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 7 tahun.

Bukan itu sahaja, malah mana-mana laman sesawang atau pos di atas talian yang mengandungi maklumat palsu yang dilawati oleh lebih 5,000 pengguna Internet atau dikongsikan lebih daripada 500 kali juga boleh berhadapan hukuman penjara.

Dalam pada itu, Piyao juga beroperasi di bawah bimibingan 27 jabatan kerajaan, termasuk Central Party School yang melatih pegawai-pegawai kerajaan, dan  Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Kebangsaan China (NDRC), sebuah badan perancang yang amat ‘berkuasa’ di negara itu.

Walau bagaimanapun, antara khabar angin yang ‘popular’ di atas talian tidak membabitkan mana-mana pemimpin atasan politik, tetapi lebih kepada topik berkaitan isu rasuah pegawai-pegawai kerajaan yang biasa, atau maklumat palsu mengenai kesihatan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker