Isu SemasaPolitikTempatan

PAS Prihatin Terhadap Semua Kaum Di Malaysia

Calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sri Setia, Dr. Halimah Ali memberi jaminan kepada para pengundi di kawasan itu bahawa partinya menentang sebarang bentuk ekstremisme yang membabitkan perkauman dan agama di Malaysia.

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa saya tidak mempunyai masalah untuk berkhidmat kepada semua kaum. Jadi, jangan risau dan jangan takut.

“Kami bukan ekstremis. PAS sebenarnya menentang ekstremisme,” kata beliau ketika sidang media baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar dakwaan yang mengatakan bahawa PAS hanya memberi tumpuan kepada satu kaum sahaja.

Tegas Dr. Halimah, PAS adalah sebuah parti politik yang prihatin terhadap semua kaum di Malaysia, dan ia telah merangka pelbagai program yang melibatkan masyarakat berbilang kaum sebelum ini.

“Saya sendiri sebagai Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional dan Biro Solidariti Pas Selangor sememangnya telah merancang dan melaksanakan banyak aktiviti bersama pelbagai kaum.

“Kita kena beri perhatian khusus dan layanan seadanya kepada golongan bukan Melayu memandangkan perkara ini turut termaktub di dalam perlembagaan PAS,” katanya.

Memetik laporan The Star, Dr. Halimah berkata, perlembagaan PAS sudah menetapkan bahawa barisan kepimpinan parti itu perlu berlaku adil kepada semua bangsa, tanpa mengira perbezaan amalan keagamaan.

“Sekiranya saya diberikan mandat untuk mewakili penduduk Seri Setia, saya akan memberi perhatian penuh kepada semua orang, tanpa mengira bangsa dan status sosial,” tambahnya.

Pada masa yang sama, beliau turut menceritakan pengalamannya berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Kelang selama 10 tahun, sejak tahun 2008.

Memberi kawasan Pulau Ketam sebagai contoh, Dr. Halimah menyatakan bahawa 90% daripada penduduk di kawasan itu adalah kaum Cina.

“Terdapat lebih daripada 20 tokong di Pulau Ketam….Saya tidak pernah tunjuk kepada mereka (penduduk Cina) bahawa mereka perlu mengubah gaya hidup.

“Malah sejak saya menjadi ADUN pada tahun 2008, ekonomi Pulau Ketam telah meningkat,” jelasnya.

Difahamkan, Dr. Halimah akan menentang calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar dalam PRK Dun Seri Setia, yang akan diadakan secara serentak dengan PRK Dun Balakong pada 8 September ini.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker