Isu SemasaPolitikTempatan

Larangan Imigresen Adalah ‘Hak Negeri’ Sarawak

Kerajaan Sarawak mempunyai hak untuk melarang atau menyekat mana-mana individu yang ‘tidak diingini” daripada memasuki negeri itu.

Ini merupakan salah satu kuasa autonomi yang dimiliki oleh Sarawak sejak pembentukan Malaysia lagi, seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Baru-baru ini, beberapa individu daripada kerajaan negeri telah mengenakan larangan imigresen ke atas beberapa individu termasuk:

1. Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Nasional – Shazni Munir Mohd Ithnin

2. Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos

3. Blogger – ‘Papagomo’ atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, larangan yang dikenakan terhadap mereka bukan bermotifkan politik, tetapi sebaliknya untuk menjaga kemakmuran dan keamanan negeri Sarawak.

Memetik laporan media tempatan, Abdul Karim berkata, hak imigresen ini akan terus kekal sampai bila-bila selagi ia tidak dipinda ataupun dibatalkan oleh Kerajaan Negeri.

Tambah beliau, hak ini juga akan diteruskan tanpa mengira parti mana sekali pun yang memerintah Sarawak.

Dalam pada itu, Abdul Karim turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak mengambil keputusan sebarangan untuk sewenang-wenangnya menyekat sesiapa masuk ke negeri berkenaan.

“Anda perlu berada di dalam senarai. Ada senarai yang diberikan (kepada pihak berkuasa) bersama sebab-sebab tertentu seseorang individu itu ditegah masuk.

“Mungkin disebabkan ucapan individu itu dahulu atau mungkin individu itu terlibat dalam kes-kes tertentu,” kata Abdul Karim dalam kenyataan baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar kenyataan Shazni, yang menyifatkan larangan imigresen ini sebagai “legasi Barisan Nasional (BN)” yang menyalahgunakan kuasa bagi tujuan politik.

“MA63 menetapkan bahawa dua negeri (Sarawak dan Sabah) mempunyai hak untuk melarang mana-mana individu yang ‘tidak diingini’ oleh negeri,” jelas Abdul Karim.

Malah, Sarawak kini berada di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang ditubuhkan pada bulan Jun.

GPS merangkumi empat parti tempatan yang telah keluar daripada BN selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) iaitu:

1. Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)

2. Parti Rakyat Sarawak (PRS)

3. Parti Demokratik Progresif (PDP) 

4. Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP)

 

Difahamkan, sejak era pemerintahan bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, negeri itu telah mengetatkan lagi peraturan bagi menyekat kemasukan pemimpin-pemimpin politik yang lantang demi mengelak risiko perpecahan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di sana.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker