Isu SemasaMalaysiaTempatan

Mulai Januari 2019, B40 Akan Menikmati Skim Insurans Kesihatan

Mulai Januari depan, golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) akan diberi skim insurans kesihatan sosial yang boleh digunakan untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan dan rawatan di hospital-hospital kerajaan atau swasta.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad menyatakan bahawa pelaksanaan inisiatif ini akan dilakukan secara berperingkat, bermula dengan golongan B40.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye pula, skim ini akan dimulakan dengan B40 dahulu kerana golongan tersebut merangkumi 60% sehingga 70% populasi di seluruh negara.

Pada masa akan datang, skim ini akan turut diperluaskan lagi kepada kategori-kategori lain termasuk golongan berpendapatan sederhana (M40).

Dr. Dzulkefly berkata, Kementeriannya telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama pihak-pihak berkepentingan, termasuk Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai perkara ini.

Memetik laporan media tempatan, skim ini akan termasuk dalam Bajet 2019 yang dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada 2 November 2018 nanti.

“Pada September ini segala perincian berhubung pelaksanaan skim berkenaan akan dirumuskan supaya ia dapat dimasukkan dapat pembentangan Bajet 2019.

“Ketika ini kita masih dalam proses dan juga sedang membuat beberapa perincian lain termasuk mengenai sumber kewangan untuk membiayainya selain pelbagai isu yang perlu diselaraskan antara Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan BNM,” kata beliau.

Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly menyifatkan skim insurans kesihatan ini sebagai “pencetus perubahan” kepada sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan di Malaysia.

Bukan itu sahaja, malah ia juga adalah skim perlindungan yang lengkap atau menyeluruh, dan akan turut melibatkan rawatan-rawatan lain selain daripada rawatan asas.

Walau bagaimanapun, masih belum ada maklumat terperinci, tetapi ia dijangka akan didedahkan tidak lama lagi.

“Kita hasilkan satu skim perlindungan kesihatan sosial yang bermula dengan B40 sebagai kumpulan sasar. Ia dalah satu skim lengkap yang bukan hanya membabitkan rawatan asas saja. Jadi harap semua bersabar, kita akan umumkan seara terperinci tidak lama lagi,” katanya.

Tambah Dr. Lee pula, skim insurans berkenaan memperuntukkan kadar minimum di antara RM10,000 sehingga RM20,000 setahun untuk setiap keluarga yang layak, di mana ia turut merangkumi perbelanjaan perubatan dan caj rawatan yang dikenakan apabila pesakit dimasukkan ke dalam wad.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker