AntarabangsaIsu Semasa

Hospital Venezuela Terjejas Teruk Akibat Pergolakan Politik Negara

Walaupun kaya dengan minyak, Venezuela merupakan salah satu negara yang termiskin di dunia dan yang termiskin di Amerika.

Negara tersebut mempunyai rizab minyak yang terbesar di dunia dengan anggaran kira-kira 302 bilion tong, tetapi krisis politik dan ekonomi yang buruk menjadikan ‘kekayaan’ mereka tidak bermakna.

Akibat kadar inflasi yang terlalu tinggi, krisis ekonomi juga telah menjejaskan sistem penjagaan kesihatan Venezuela dengan teruk sekali, di mana hospital-hospital di negara itu mengalami kesukaran untuk merawat pesakit kerana kekurangan kakitangan, peralatan dan bekalan perubatan.

Bukan itu sahaja, malah rawatan kesihatan yang paling asas pun tidak dapat dilaksanakan oleh pihak hospital berikutan keadaan yang amat tertekan ini.

Memetik laporan eksklusif Sky News, kadar inflasi boleh mencecah 1,000,000%, dan kakitangan-kakitangan hospital, termasuk doktor, dibayar gaji yang terlalu sedikit.

Difahamkan, ramai kakitangan telah berhenti kerja dan melakukan mogok untuk meminta gaji yang lebih tinggi.

Pesakit-pesakit juga terpaksa diletakkan di atas troli hospital dan menurut seorang doktor, seorang pesakit telah meninggal dunia hanya kerana pihak hospital tidak memiliki jarum.

Sementara itu, seorang lagi doktor yang dikenali sebagai Dr. Emily Montilla, pendapatan bulanan beliau adalah 5 juta bolivare, tetapi membeli telur sudah menelan kos 4 juta bolivare.

Walau bagaimanapun, doktor-doktor, dengan segala kudrat yang ada, tetap sanggup berada di hospital demi membantu para pesakit yang memerlukan rawatan.

“Kita tidak mampu untuk makan (menyara diri sendiri). Tetapi, kami berada di sini (hospital) kerana kasih sayang. Kita perlu bantu orang-orang ini,” katanya.

Seorang doktor pelatih, Margaret Gamboa turut berkata: “Segalanya di sini adalah amat menyedihkan….saya tidak dapat membantu mereka, kerana tiada sesiapa di sini.”

Lebih menyedihkan lagi, keadaan hospital juga berada dalam keadaan yang kotor dan panas kerana tiada tukang pembersih dan kekurangan penghawa dingin.

Dalam keadaan hospital yang dipenuhi dengan lalat, setiap pesakit juga terpaksa membeli pembalut luka, ubat, dan sarung tangan dengan sendiri.

Sehubungan dengan itu, Julio Cesar Torres, iaitu bapa kepada salah seorang pesakit menyatakan bahawa ramai pesakit lain di dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) telah meninggal dunia.

“80% daripada pesakit yang berada di ICU bersama anak saya telah meninggal dunia. Terdapat pelbagai faktor yang perlu dipersalahkan….termasuk sosial, ekonomi, dan politik,” jelasnya.

 

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker