Isu SemasaMalaysiaTempatan

Akibat Penindasan, Pelarian Rohingya Berpotensi Menjadi Pengganas

Penganiayaan dan penindasan ke atas etnik minoriti Islam Rohingya telah bermula sejak berpuluh-puluh tahun dahulu dan masih lagi belum menemui titik penghujung sehingga ke hari ini.

Demi menyelamatkan diri, ramai warga Rohingya bertindak melarikan diri ke pelbagai negara di serata dunia, termasuk Bangladesh, Indonesia, dan Malaysia.

Tetapi disebabkan penindasan yang berterusan, golongan ini dilihat amat terdedah dengan risiko untuk dimanipulasi dan terpengaruh dengan ideologi militan.

Oleh yang demikian, Menteri Pertahanan baru Malaysia, Mohamad Sabu (Mat Sabu) menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memainkan peranan yang lebih besar bagi menyelesaikan krisis pelarian Rohingya, demi memastikan mereka tidak terjebak dalam gejala keganasan.

“Kita mahu PBB memainkan peranan yang lebih besar kerana kita bimbang jika penderitaan yang dihadapi oleh Rohingya mungkin akan menyebabkan segelintir daripada mereka untuk terpengaruh dengan ideologi ‘jihad’ (songsang) yang dipromosikan oleh Islamic State (IS),” katanya selepas merasmikan¬†Simposium Keselamatan ASEAN Persatuan Antarabangsa Bagi Menangani Keganasan dan Keselamatan Profesional (IACSP)¬†pada Isnin.

Memetik laporan New Straits Times, Mat Sabu turut memberi contoh insiden yang berlaku di Palestin, di mana rakyat negara itu yang ditindas oleh Israel terpaksa menggunakan pelbagai cara untuk melakukan ‘serangan balas’, termasuk menjadi pengebom berani mati.

“Tanah mereka telah dirampas, dan dalam keadaan terdesak untuk melawan dan mengambil semula (tanah mereka), sesetengah rakyat Palestin menjadi radikal,” ujarnya.

Mat Sabu turut menyatakan bahawa krisis pelarian Rohingya perlu ditangani dengan segera memandangkan mereka berpotensi untuk direkrut oleh pengganas.

Tegasnya lagi, sebagai negara Islam dan anggota ASEAN, Malaysia memandang krisis Rohingya sebagai satu isu yang serious memandangkan kumpulan-kumpulan militan seperti IS mampu mengeksploitasi atau mengambil kesempatan ke atas situasi ini dengan ‘menghalalkan’ pandangan/perbuatan keganasan mereka.

“Kita amat bimbang kerana Rohingya boleh dimanipulasi untuk menjadi pengebom berani mati atau direkrut menjadi sel-sel pengganas di dalam rantau ini,” kata Mat Sabu.

Difahamkan, terdapat lebih daripada 100,000 warga Rohingya telah melarikan diri ke Malaysia untuk mencari perlindungan.

Bangladesh pula mencatatkan jumlah pelarian yang lebih besar, iaitu mencecah satu juta orang.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Khas Anti-Keganasan Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sudah berlaku empat kes membabitkan IS merekrut anggota-anggota baru daripada kalangan komuniti Rohingya di Malaysia sejak tahun 2015.

“Ini adalah kes-kes yang kami dapat kenal pasti setakat ini, dan kami telah pun mendakwa dan menghantar mereka pulang,” katanya.

Mengenai pemansuhan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) pula, beliau menyatakan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mencari jalan lain untuk membasmi keganasan, sekiranya Akta itu dihapuskan.

“Kami (polis) telah menjumpai kaedah baru untuk terus menentang keganasan dan ekstremisme selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, dan kami akan melakukannya lagi jika Sosma dihapuskan,” katanya.

Menurut Ayob, daripada 420 orang suspek yang ditahan di bawah Sosma, seramai 185 telah didakwa di mahkamah.

Sehubungan dengan itu, 148 suspek telah disabitkan bersalah manakala 107 orang lagi telah dihantar pulang ke negara asal mereka.

“Justeru itu, tidak timbul isu penahanan tanpa bicara kerana suspek-suspek telah mendapat bantuan undang-undang yang termaktub di dalam sistem perundangan Malaysia,” jelasnya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker