AntarabangsaIsu Semasa

‘Kepala’ Militan IS Di Afghanistan Terbunuh Dalam Operasi Tentera

Pengaruh dan kekuatan militan IS dilihat semakin lumpuh selepas kubu kuat mereka di Iraq dan Syria berjaya ditawan semula oleh pasukan tentera pada tahun lepas.

Baru-baru ini pula, pihak berkuasa Afghanistan mendedahkan bahawa ketua militan IS di negara itu, Abu Saad Erhabi telah terbunuh dalam satu serangan di tempat persembunyian kumpulan berkenaan di wilayah Nangarhar pada hari Sabtu lalu.

Menurut agensi perisikan tempatan, iaitu Direktorat Keselamatan Negara (NDS), sepuluh orang anggota kumpulan pengganas tersebut turut terbunuh dalam operasi gabungan darat dan udara yang dilancarkan oleh tentera Afghanistan bersama pasukan keselamatan dari negara-negara asing.

Serangan yang dilancarkan oleh tentera juga telah memusnahkan banyak senjata berat dan ringan yang disimpan di tempat persembunyian militan.

Memetik laporan Reuters, agensi berita milik IS bernama Amaq, tidak mengeluarkan sebarang kenyataan/komen berhubung perkara ini.

Gabenor Wilayah Nangarhar, Hayatullah Hayat berkata, Erhabi merupakan pemimpin IS di Afghanistan yang keempat dibunuh sejak bulan Julai tahun 2017.

Difahamkan, IS telah menubuhkan kubu kuat di wilayah tersebut sekali gus menjadi salah satu kumpulan militan yang paling berbahaya di sana.

Bukan itu sahaja, malah IS juga mempunyai kumpulan serpihannya di Afghanistan yang dikenali sebagai Islamic State Khorasan (ISIS-K).

ISIS-K dilaporkan sudah aktif menentang Taliban, tentera Afghanistan dan Amerika Syarikat (AS) sejak tahun 2015 lagi.

Bekas pemimpin kumpulan itu, Abu Sayed telah terbunuh dalam satu serangan di bahagian timur wilayah Nangarhar, manakala beberapa orang pewarisnya pula maut dalam operasi gabungan di antara AS dan Afghanistan.

Walau bagaimanapun, jumlah sebenar pejuang-pejuang IS di negara berkenaan amat sukar untuk dikira memandangkan mereka sering kali bertukar-tukar kumpulan.

Tetapi, pihak tentera AS menganggarkan bahawa terdapat kira-kira 2,000 anggota pengganas IS yang sedang bertapak di Afghanistan.

Selain itu, lebih daripada 150 pejuang IS di wilayah Jawzjan telah menyerah diri kepada pasukan keselamatan Afghanistan pada bulan ini, di mana kumpulan itu berjuang untuk mengawal laluan-laluan penyeludupan ke negara jiran, Turkmenistan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker