Sukan

Atlet Jutawan

Bolehkah seorang atlet menjadi jutawan?

Anda boleh, jika anda seorang atlet dari Indonesia atau Filipina yang berjaya memenangi pingat emas di Sukan Asia yang sedang berjalan sekarang.

Hadiah yang diterima adalah begitu lumayan. Tuan rumah Indonesia memberikan hadiah wang tunai bernilai 1.5 bilion Rupiah (RM420,000) kepada atlet yang berjaya meraih pingat emas.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga akan menerima sebuah rumah serta berpeluang mendapatkan pekerjaan di dalam sektor awam negara itu, termasuk anggota polis dan tentera.

Kebanyakan atlet Indonesia datang daripada keluarga miskin, jadi habuan sebuah rumah, wang tunai serta pekerjaan di dalam sektor awam adalah seperti satu mimpi yang menjadi kenyataan.

Indonesia berharap untuk memanfaatkan sepenuhnya sebagai tuan rumah untuk mencapai kedudukan 10 teratas berdasarkan pungutan pingat. Kali terakhir mereka mencapainya adalah pada tahun 1990 dengan kutipan 14 pingat emas berjaya diraih.

Jadi Indonesia tidak menunggu lama untuk mengumumkan pemberian insentif kepada mereka yang memenangi pingat emas – malah atlet pertama yang berjaya mendapatkan cek simbolik bernilai 1.5 bilion Rupiah (RM420,000) adalah atlet taekwondo, Defia Rosmaniar.

Beliau menerima cek itu daripada Menteri Sukan Indonesia, Imam Nahrawi selepas memenangi pingat emas pertama negara itu melalu acara poomsae individu wanita pada 19 Ogos yang lepas.

“Wang itu dikumpulkan daripada pelbagai tajaan. Ia adalah satu insentif kerana kami adalah tuan rumah Sukan Asia,” ujar Nahrawi.

Lindswell Kwok pula menghadiahkan pingat emas kedua buat Indonesia, dan atlet wushu turut mendapat sebuah kereta baharu daripada persatuannya.

Filipina juga tidak mahu terlepas daripada memberi imbuhan kepada atlet mereka, dengan atlet angkat berat wanita mereka, Hidilyn Diaz menjadi atlet pertama yang berjaya meraih pingat emas pertama negara itu.

Atlet berusia 27 tahun itu berjaya memperoleh hadiah wang tunai bernilai 6 juta peso (RM460,850) selepas muncul juara di dalam acara angkat berat kategori bawah 53kg.

Hong Kong juga turut memberikan imbuhan besar kepada atlet-atlet mereka.

Mereka akan berkongsi wang terkumpul HK$20 juta (RM10 juta).

Jacqueline Siu menjadi atlet Hong Kong pertama yang menerima wang itu, selepas Sukan Asia keempat dalam kariernya dengan memenangi acara equestrian perseorangan.

Pemain badminton P.V. Sindhu yang dilihat berpeluang memenangi acara perseorangan Sukan Asia itu sudahpun menjadi seorang jutawan apabila namanya disenaraikan di tempat ketujuh sebagai atlet wanita yang paling banyak di bayar dengan harta keseluruhan bernilai AS$8.5 juta (RM34.92 juta) hasil hadiah pertandingan serta bayaran duta produk. Dan nilai itu akan melonjak lebih tinggi jika beliau berjaya meraih emas di Sukan Asia ini.

Jadi, bagaimana pula dengan atlet Malaysia?

Seorang atlet Malaysia yang berjaya membawa pulang pingat emas akan mendapat RM80,000 – satu jumlah yang sangat kecil jika dibandingkan dengan atlet lain.

Mungkin sudah tiba masanya Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meneliti semula skim insentif sedia ada.

Jumlah ini tidak pernah ditukar sejak Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur – sudah 20 tahun lamanya.

Walaupun begitu, atlet Malaysia jauh lebih bernasib baik jika dibandingkan dengan atlet dari Jepun serta beberapa negara barat seperti Britain dan Sweden.

Jepun tidak menawarkan sebarang insentif wang tunai kepada pemenang pingat emas mereka, dan perenang wanita mereka, Rikako Ikee yang berjaya mendapatkan empat pingat emas setakat ini pasti cemburu dengan atlet lain di dalam komuniti Asiad.

Korea Selatan juga tidak memberi sebarang insentif dalam bentuk wang tunai, tetapi mereka diberi kelonggaran kepada atlet yang memenangi pingat emas untuk melengkapkan latihan ketenteraan selama empat minggu sahaja berbanding 2 tahun mandatori.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker