Isu SemasaTempatan

Adakah BR1M Mempunyai Elemen Rasuah?

Baru-baru ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali menyatakan bahawa pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) perlu dihentikan kerana ia mempunyai “unsur-unsur rasuah.”

Beliau berkata, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) bakal memperkenalkan inisiatif-inisiatif baru yang akan membantu mengurangkan beban kos sara hidup serta mensejahterakan kehidupan rakyat.

“Malah, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menegaskan bahawa bantuan-bantuan (kewangan) yang mempunyai unsur politik tidak patut diteruskan.

“Pemberian wang tunai ini perlu berhenti kerana ia dianggap sebagai rasuah berunsurkan politik untuk meraih sokongan,” ujar Azmin.

Namun memetik laporan The Star, Dr. Mahathir dalam satu temubual baru-baru ini berkata, kerajaan akan mengurangkan jumlah pemberian BR1M sebelum menghentikan bantuan ini sepenuhnya.

Tegas Azmin, langkah ini tidak akan mendatangkan kesan negatif kepada rakyat memandangkan hala tuju ekonomi baru negara yang dirangka oleh kerajaan akan memberi fokus untuk memperbaiki kehidupan orang ramai.

“Perdana Menteri dan Kabinet sedang mewujudkan pendekatan dan inisiatif baru untuk hala tuju ekonomi negara, yang akan dibentangkan dan dibahaskan di dalam Parlimen pada bulan Oktober.

“Maka dengan ini, saya percaya bahawa rakyat akan mempunyai kuasa ekonomi yang lebih baik untuk mengurangkan kos sara hidup,” jelas beliau.

Ditanya sama ada kerajaan akan menggantikan BR1M dengan sistem baru untuk mengurangkan beban golongan yang memerlukan, Azmin menyatakan ia telah dikaji, dan kementeriannya juga akan membentangkan perkara ini di dalam Parlimen nanti.

Dalam pada itu, beliau juga mengakui bahawa Rancangan Malaysia ke-11 bagi tahun 2016-2020 mencatatkan kejayaan dan prestasi yang bagus sejak ia mula dilaksanakan pada dua tahun lalu.

Berikutan itu, kerajaan baru juga akan menambah rancangan baru untuk hala tuju ekonomi Malaysia berdasarkan manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) PH.

“Selain daripada kejayaan dan prestasi RMK-11 sejak dua tahun lalu, kita juga akan menambah hala tuju baru untuk ekonomi Malaysia berdasarkan manifesto pilihan raya Pakatan Harapan.

“Selepas memenangi pilihan raya, ini adalah masa bagi Pakatan untuk memasuki fasa kedua reformasi, di mana pengotaan dan pelaksanaan janji-janji demi manfaat rakyat menjadi keutamaan,” kata Azmin.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker