Sukan

Selangor Tewaskan Singapura Untuk Memenangi Piala Sultan Selangor

Selangor menewaskan Singapura 5-3 di dalam penentuan sepakan penalti selepas tamat perlawanan dengan keputusan seri 1-1 di hadapan 40,000 penyokong dan mendapatkan semula Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam.

Pemain Singapura, Faris Ramli yang turut bermain untuk kelab PKNS menjadi wira Selangor apabila dia menjaringkan penalti kemenangan.

Shuhei Hoshino meletakkan Singapura di hadapan selepas menjaringkan gol pembukaan pada minit ke lapan, sebelum Selangor menyamakan kedudukan menerusi Rufino Segovia, enam minit kemudian sehingga memaksa perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Untuk perlawanan peringkat veteran, Selangor mendahului Singapura 3-2 dalam penentuan sepakan penalti selepas perlawanan tamat dengan keputusan seri 1-1.

Karim Pin terlebih dahulu membuka jaringan apabila meletakkan Selangor di hadapan pada minit ke-15, sebelum Steven Tan menyamakan kedudukan pada minit ke-27 buat Singapura.

Sementara Nazzab Hidzan muncul juara buat Selangor dengan menjaringkan penalti kemenangan selepas Steven melepaskan peluang apabila sepakan penaltinya tersasar.

Sebelum itu, pasukan Bawah-16 Selangor turut melakar kemenangan 2-0 ke atas pasukan Bawah-16 Singapura bagi mendapatkan Piala Cabaran Sekolah Selangor-Singapura.

Peminat yang datang untuk menyaksikan tiga perlawanan di antara lawan tradisi ini, turut disajikan persembahan oleh artis, pertunjukan laser serta bunga api.

Selain dari itu juga terdapat satu cabutan bertuah kepada seorang peminat yang bertuah dengan memenangi sebuah kereta Honda City baharu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah merasmikan acara berkenaan dan duduk untuk menyaksikan ketiga-tiga perlawanan itu.

Baginda ditemani oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Turut menyaksikan perlawanan tersebut adalah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari serta Tan Sri Abdul Karim Munisar

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker