Amerika SyarikatAntarabangsaIsu SemasaPolitik

Remaja Berusia 14 Tahun Ini Bakal Menjadi Gabenor?

Pada kebiasaannya, golongan remaja akan memberi tumpuan terhadap pelajaran, serta pelbagai bentuk aktiviti dan hobi seperti bermain permainan video, bola sepak, berbasikal dan sebagainya.

Namun begitu, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di Amerika Syarikat (AS) bernama Ethan Sonneborn, memilih haluan yang berbeza di dalam kehidupannya.

Walaupun masih lagi bersekolah, Ethan berhasrat untuk memasuki arena politik dan akan bertanding bagi merebut jawatan Gabenor di negeri yang didiaminya, iaitu Vermont.

Pilihan Raya Gabenor 2018 AS bakal berlangsung pada 6 November nanti.

Bagi perlumbaan pemilihan Gabenor kali ini, beliau mewakili sayap progresif di bawah Parti Demokrat dan bakal berhadapan pesaing-pesaing yang sudah veteran.

Memetik laporan AFP, pesaing-pesaingnya termasuk:

1. Phil Scott – Gabenor Vermont ke-82. Beliau telah memegang jawatan ini sejak tahun 2017 dan akan bertanding untuk mengekalkan kedudukannya.

2. James Ehlers – Veteran tentera laut dan aktivis alam sekitar

3. Brenda Siegel – Ahli politik dan aktivis

4. Christine Hallquist – Ahli politik, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Vermont Electric Cooperative (VEC). Sekiranya menang pemilihan kali ini, beliau akan menjadi Gabenor transgender yang pertama di dalam sejarah AS.

Bercakap mengenai kelayakan Ethan untuk bertanding, Scott memuji “kematangan” dan kesedaran politik anak muda itu, namun pada masa yang sama berpandangan bahawa remaja tersebut masih terlalu muda untuk menyandang jawatan Gabenor.

“Saya rasa kita perlu melihat perkara ini dengan jujur. Saya rasa anda perlu sekurang-kurangnya sudah layak untuk mengambil lesen memandu ketika anda sudah menjadi Gabenor,” katanya.

Difahamkan, di kebanyakan negeri di AS, umur minimum pengambilan lesen memandu adalah 16 tahun, tetapi terdapat juga kawasan-kawasan lain yang menetapkan had usia yang berbeza.

Dalam pada itu, laman sesawang peribadi Ethan menyifatkan beliau sebagai “juara” bagi golongan kelas pertengahan dan keluarga yang bekerja.

Remaja itu juga dikatakan sudah mempunyai pelbagai idea yang bernas untuk melakukan perubahan dalam penjagaan kesihatan, pembangunan ekonomi, serta pendidikan di kawasannya itu.

“Saya rasa saya adalah calon yang terbaik untuk mewakili perubahan yang kita perlukan,” katanya dalam satu kenyataan pada awal bulan ini.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker