Amerika SyarikatAntarabangsaIsu Semasa

Lebih 350 Agensi Media Berganding Bahu Membalas ‘Serangan’ Presiden Trump

Agensi-agensi media di Amerika Syarikat (AS) berganding bahu mengkritik pandangan berkontroversi Presiden Donald Trump mengenai isu “berita palsu” dan melabel golongan wartawan sebagai “musuh.”

Minggu lepas, portal berita The Boston Globe telah menjemput semua syarikat akhbar di seluruh negara untuk mempertahankan media menerusi penulisan editorial.

Menurut editor di ruangan kolumnis The Boston Globe, Marjorie Pritchard, hampir 350 agensi media telah menyertai ‘gerakan’ itu.

Sementara itu, agensi media utama di St. Louis yang dikenali sebagai Post-Dispatch menyifatkan para wartawan sebagai “patriot yang sebenar.”

Akhbar The Chicago Sun-Times pula berkata, kebanyakan rakyat AS menyedari bahawa Trump bercakap perkara-perkara yang mengarut.

The Fayetteville Observer pula berharap agar presiden Republikan itu akan berhenti melakukan perkara-perkara sebegini lagi, namun pada masa yang sama tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi.

“Sebaliknya, kami berharap agar semua penyokong presiden (Trump) akan menyedari apa yang beliau sedang lakukan – (iaitu) memanipulasi realiti untuk mendapatkan apa yang dikehendakinya,” kata agensi yang berpangkalan di North Carolina itu.

Dalam pada itu, terdapat juga beberapa syarikat akhbar yang menggunakan subjek sejarah sebagai platform untuk menyampaikan mesej mereka kepada Trump.

Sebagai contoh, The Elizabethtown Advocate, membuat perbandingan mengenai kebebasan akhbar di AS dan bekas Soviet Union.

New York Times turut meluahkan pandangan sambil menyeru orang ramai untuk melanggan akhbar-akhbar tempatan.

“Jika anda masih belum, tolong langgan akhbar-akhbar tempatan…Puji mereka (wartawan) apabila anda rasa mereka telah melaksanakan tugas dengan baik dan kritik mereka jika anda rasa mereka perlu lakukan tugas dengan lebih baik. Kita semua bersama dalam perkara ini,” kata syarikat akhbar terkemuka di New York itu.

Walau bagaimanapun, akhbar Wall Street journal (WSJ) tidak mengambil bahagian dalam usaha melancarkan ‘serangan balas’ terhadap kenyataan-kenyataan Trump ke atas media.

Penolong Editor WSJ, James Freeman menerusi penulisannya berkata, inisiatif yang dilancarkan oleh The Boston Globe ini adalah bercanggah dengan idea kebebasan bersuara yang ingin dicapai oleh mereka.

Menurut Freeman, Trump juga mempunyai hak untuk bersuara secara bebas sama seperti semua pihak media.

Selain itu, Radio Televesion Digital News Association, yang mewakili lebih daripaa 1,200 penyiar dan laman sesawang, turut meminta anggota-anggotanya untuk menekankan bahawa “wartawan adalah rakan dan jiran yang melakukan tugas penting” untuk memastikan kerajaan melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik.

Pada masa yang sama, Pengarah Eksekutif syarikat itu, Dan Shelley juga menyatakan bahawa melancarkan serangan ke atas presiden Rumah Putih itu hanya akan memburukkan lagi keadaan.

“Saya mahu memastikan bahawa perkara ini positif. Kita hanya memudaratkan lagi keadaan sekiranya kita menjadikan perkara ini semata-mata untuk ‘menyerang’ presiden atau para penyokongnya,” jelas beliau.

 

 Akhir sekali, Mercury News di San Jose, California menegaskan bahawa pihak media “bukan musuh” negara.

 

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker