AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Thailand Perlu Mengadakan Pilihan Raya Secepat Mungkin

Thailand perlu mengadakan pilihan raya umumnya secepat mungkin memandangkan negara itu akan menjadi Pengerusi Asean pada tahun 2019 nanti.

Difahamkan, pilihan raya yang kerap ditangguhkan itu dijangka akan berlangsung seawal pada 24 Februari, atau selewat-lewatnya pada 5 Mei tahun depan.

Walau bagaimanapun, tindakan kerajaan pimpinan tentera yang dilihat sengaja melewat-lewatkannya telah mencetuskan kemarahan rakyat yang mahu demokrasi dikembalikan semula.

Semasa tentera, yang juga dikenali sebagai National Council for Peace and Order (NCPO) mengambil alih tampuk pemerintahan negara dengan menggulingkan kerajaan pimpinan bekas perdana menteri, Yingluck Shinawatra pada tahun 2014, mereka berjanji untuk memulihkan Thailand dan mengembalikannya kepada pemerintahan demokratik dalam tempoh dua tahun.

Namun, janji tersebut tidak dikotakan dan NCPO masih lagi memerintah Thailand walaupun sudah empat tahun berlalu sejak penggulingan kuasa itu berlaku.

Memetik laporan akhbar The Nation, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand, Ittiporn Boonprakong berkata, secara teorinya, pilihan raya mungkin akan diadakan pada 24 Februari 2019.

Tetapi, selepas mengadakan mesyuarat lanjut bersama Timbalan Perdana Menteri, Wissanu Krea-ngam, terdapat kemungkinan besar bahawa pemilihan itu tidak akan berlangsung sehingga bulan Mei.

Oleh yang demikian, penulisan editorial akhbar The Nation menekankan bahawa kerajaan Thailand perlu mengadakan pilihan raya secepat mungkin demi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini daripada berlaku apabila negara itu mengambil alih jawatan Pengerusi Asean daripada Singapura nanti.

Dalam pada itu, pelbagai acara dan isu-isu penting perlu diberi perhatian sepanjang Thailand memainkan peranan sebagai pengerusi blok itu pada tahun depan.

Difahamkan, antara sebab mengapa tentera melewat-lewatkan pelaksanaan pilihan raya adalah untuk memastikan Perdana Menteri, Jeneral Prayut Chan-o-cha, mendapat sokongan politik yang cukup demi mengekalkan kuasa dan kedudukannya sebagai pemimpin bagi penggal yang seterusnya.

Namun, tindakann ini akan memudaratkan kepentingan negara.

Menurut The Nation, Thailand tidak boleh menghadapi pergolakan politik dan memegang tanggungjawab sebagai pengerusi Asean pada masa yang sama.

Negara itu akan menjadi tuan rumah kepada lebih 100 mesyuarat di setiap peringkat pada tahun 2019, termasuk sidang kemuncakk pemimpin-pemimpin Asean yang selalunya berlangsung pada bulan Mac atau April.

Keadaan berpotensi untuk menjadi huru-hara sekiranya ahli-ahli politik Thailand menjalankan kempen pilihan raya mereka ketika sedang menjadi tuan rumah bagi Asean.

Lebih penting lagi, setelah tarikh pilihan raya dimuktamadkan, Prayut akan menjadi pemimpin kepada kerajaan sementara.

Ini bermakna, kerajaan sementara pimpinannya tidak mempunyai kuasa untuk memuktamadkan sebarang perjanjian atau membuat komitmen bersama negara-negara Asean yang lain.

Situasi ini sekali gus akan menjadikan peranan Thailand sebagai pengerusi blok itu ‘tidak bermakna.’

Thailand merupakan salah sebuah negara pengasas Asean dan telah memainkan peranan penting di dalam blok tersebut sehinggalah berlakunya pergulingan kuasa pada tahun 2006 yang turut menjejaskan reputasinya.

Bukan itu sahaja, malah ketika memegang jawatan pengerusi pada 10 tahun lalu, penunjuk perasaan anti-kerajaan telah berjaya memberi tekanan sehingga sidang kemuncak antarabangsa yang besar di Pattaya terpaksa dibatalkan.

Oleh itu tegas The Nation, perkara sedemikian tidak boleh berulang lagi dan pilihan raya juga perlu diadakan selewat-lewatnya pada 24 Februari.

Jika tidak, sekiranya berlaku sebarang rusuhan, situasi akan bertambah buruk jika kerajaan tentera gagal menanganinya dengan baik, sekali gus menjejaskan lagi imej, integriti dan reputasi negara yang sudah pun tercalar sebelum ini.

Selain itu, The Nation turut menegaskan supaya peralihan kuasa selepas selesai pilihan raya diadakan secara aman dan kerajaan baru juga perlu bersedia untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai pengerusi Asean.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker