Isu SemasaTempatan

Perang Dagang AS-China Boleh Manfaatkan Malaysia?

Tidak dinafikan lagi bahawa perang dagang di antara Amerika Syarikat (AS) dan China berpotensi mendatangkan impak negatif terhadap ekonomi global.

Namun pada masa yang sama, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir turut meluahkan keyakinnan beliau bahawa fenomena ini juga dapat mewujudkan peluang baik yang boleh memanfaatkan Malaysia.

“Terdapat juga faedah tertentu kerana kehilangan pasaran China oleh AS bermakna beberapa peluang kepada kami.

“Ketidakupayaan AS untuk menggunakan China sebagai pangkalan pembuatan juga boleh menyebabkan mereka beralih ke negara lain termasuk Malaysia,” katanya dalam satu sesi temubual bersama ThaiPBS baru-baru ini yang membincangkan isu-isu antarabangsa.

Walaupun terdapat peluang yang boleh dimanfaatkan oleh negara, Dr. Mahathir menegaskan bahawa Malaysia dan negara-negara ASEAN yang lain perlu bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kesan atau perubahan yang bakal berlaku akibat perang dagang ini.

Menyifatkan perang dagang ini sebagai satu perkara yang “bodoh”, beliau turut berpandangan bahawa Malaysia dan ASEAN masih belum cukup kuat untuk menggesa China dan AS untuk menghentikan perkara ini.

“Kami tidak cukup kuat untuk memberitahu sama ada China atau AS untuk menghentikan perang perdagangan yang bodoh ini. Perang ini tidak akan memberi manfaat kepada mereka.

“Kami perlu mencari jalan untuk menyesuaikan akibat perang perdagangan tersebut di rantau ini, supaya ekonomi kami tidak terjejas teruk,” katanya.

Sementara itu pada minggu lepas, Ketua Ahli Ekonomi CIMB Group, Dr. Donald Hanna berkata, perang dagang ini juga berpotensi menjejaskan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 1.3%.

Jelas beliau, senario ini kemungkinan akan berlaku sekiranya kedua-dua kuasa dunia itu terus meningkatkan tarif, dan ini sekali gus akan menjejaskan keyakinan pasaran kewangan, lebih-lebih lagi jika China menjual pegangan Perbendaharaan AS yang dimilikinya.

“Ini akan membawa kepada pengurangan perdagangan global yang akan memberi kesan kepada Malaysia sebagai ekonomi terbuka dan turut menyebabkan kenaikan kadar faedah yang boleh memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Memetik laporan media tempatan, Dr. Hanna menyatakan bahawa AS telah mula mengenakan tarif sebanyak 25% ke atas barangan China bernilai AS$34 bilion (RM144 bilion) dan duti ke atas import bernilai AS$16 bilion (RM65.7 bilion), yang berkuatkuasa pada 23 Ogos.

Selain itu, KDNK negara-negara ASEAN juga akan turut merasai impak perang dagang ini termasuk Indonesia (-1.6%), Singapura (-2.0%) dan Thailand (-1.2%).

Tambah beliau, bidang-bidang berkenaan akan merasai impak yang terbesar:

Sektor Elektronik: Malaysia dan Singapura

Produk Makanan: Indonesia, Malaysia, dan Thailand

Produk Kayu: Indonesia dan Thailand

“Berdasarkan magnitud perdagangan yang besar dan kepentingan kewangan di Singapura, KDNK negara itu akan terjejas daripada perang perdagangan tersebut, terutamanya dengan harga bon AS yang lebih tinggi.

“Indonesia seterusnya (tertinggi), terjejas oleh bahagian nilai tambah yang tinggi dalam eksport China, oleh defisit perdagangannya dan 42 peratus daripada pasaran bon domestik yang dipegang oleh pelabur asing,” kata Dr. Hanna.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker