Isu SemasaTempatan

Mengenang Kembali Sambutan Kemerdekaan Di Stadium Merdeka

Setiap tahun pada Hari Merdeka, Yusoff Azmi Merican, 80, akan mengenang kembali saat bersejarah ketika Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengumumkan kemerdekaan negara di Stadium Merdeka.

Beliau mengakui bahawa beliau masih merasai euforia dan keseronokan seperti berada di sana.

“Pada masa itu saya hanya berusia 18 tahun, 60 tahun yang lalu pada tahun 1957, di mana orang tidak mempunyai kemewahan untuk keluar dari negeri asal mereka.

“Saya bersama rakan-rakan saya yang lain menaiki ┬ákereta api pada 29 Ogos dengan satu niat – untuk menyaksikan pengisytiharan kemerdekaan kita,” katanya kepada TheSun.

Yusoff berkata perjalanannya ke Kuala Lumpur agak sukar dilupakan kerana kereta api yang mereka ambil itu penuh dengan orang-orang yang juga menuju destinasi yang sama dan atas sebab yang sama.

Beliau berkata walaupun kereta api itu penuh dengan orang ramai, ia tidak melemahkan semangat mereka untuk menyaksikan pengisytiharan Merdeka.

Pelajar Pinang Free School itu berkata sebagai seorang pelajar yang sangat minat dalam sejarah, beliau teringat bagaimana gurunya, Encik Davis telah mendorong mereka untuk pergi ke Kuala Lumpur.

“Davis ialah dari Scotland, beliau memberitahu kami bahawa negara kita akan mengalami saat paling bersejarah, jadi kita harus pergi dan menyaksikannya.”

Bekas guru besar Sekolah Rendah Kebangsaan Francis Light itu juga menunjukkan buku program Hari Kebangsaan yang ditulis dalam Jawi bertajuk “Perayaan Kemerdekaan Ibu Kota Persekutuan – 27 Ogos hingga 8 Sept” yang dipelihara sehingga hari ini.

Yusoff berkata buku program tersebut mempunyai butir-butir dan gambar-gambar Tunku, jawatankuasa Kabinet dan penganjur baru.

Selain buku berkenaan, beliau juga memiliki koleksi artikel akhbar pada hari pertama Merdeka terutamanya dari Straits Times, Straits Echo dan juga Standard Singapura.

Beliau berkata terdapat perbezaan yang besar di antara zaman sebelum Merdeka dan zaman sekarang di mana ramai pada waktu itu hidup dengan cara sederhana, tidak seperti sekarang di mana ramai yang hidup dengan kemewahan.

Yusoff juga mengingati kembali apabila Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman muncul di Stadium Merdeka pada 31 Ogos beberapa jam selepas hujan lebat yang memaksa sambutan Merdeka ditangguhkan selama beberapa jam.

Walaupun begitu, beliau berkata bahawa perkara tersebut tidak melemahkan semangat orang ramai yang basah kuyup dan sudah berada di sana sejak awal pagi.

“Ketika Tunku tiba bersama dengan orang-orang kenamaan, terdapat rasa gembira dan seronok yang saya tidak dapat terangkan sehingga hari ini, tetapi pastinya ia adalah rasa patriotik,” katanya.

Yusoff berkata tiada apa yang dapat mengalahkan kegembiraan sambutan Merdeka pada 31 Ogos 1957, walaupun Malaysia telah maju ke hadapan.

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker