Sukan

Masa Untuk Harimau Tunjuk Taring

Bukan sahaja ia amat bermakna buat jurulatih remaja kebangsaan, Ong Kim Swee, tetapi juga buat seluruh pasukan Bawah-23 bimbingannya jika mereka dapat menewaskan Jepun pada perlawanan 16 pasukan terakhir di Sukan Asia di Bekasi malam ini.

Ong Kim Swee dan anak buahnya berada di dalam semangat yang tinggi selepas kemenangan mereka ke atas Korea Selatan, dan menewaskan Jepun akan menjadi tanda aras jika bercakap mengenai kemajuan bola sepak Malaysia.

Ia akan menaikkan semangat dan kepercayaan terhadap diri mereka sendiri bahawa mereka mampu mencabar pasukan-pasukan gergasi bola sepak di Sukan Asia.

Anak buah Ong Kim Swee telah menunjukan prestasi yang sangat baik pada tahun ini, bermula dengan kemunculan mereka di peringkat suku akhir Kejuaraan AFC Bawah-23 di China pada Januari yang lalu.

Kemudia ia disusuli kemenangan ke atas pasukan Emiriah Arab Bersatu ketika perlawanan persahabatan, walaupun ia berakhir dengan kekerasan.

Walaupun mereka berada di tahap terbaik, banyak pihak yang tidak mengharapkan apa-apa daripada mereka di Sukan Asia dan merasakan mereka tidak akan pergi jauh.

Tetapi kemenangan mereka ke atas Kyrgyzstan dan Korea di peringkat kumpulan telah membuktikan bahawa bola sepak Malaysia semakin maju.

Ia amat sukar ketika di peringkat persiapan kerana ada kelab-kelab yang tidak melepaskan pemain mereka, sementara ada juga yang tercedera.

Namun begitu, Kim Swee berjaya melepasi segala halangan bagi membawa pasukan kebangsaan ini ke hadapan.

Hari ini, seluruh negara akan terpaku di hadapan tv masing-masing bagi memberikan sokongan mereka.

“Pemain-pemain ini tahu betapa pentingnya perlawanan ini, mereka sedar mereka sedang membawa harapan negara di bahu mereka,” ujar Kim Swee.

“Saya berbesar hati dapat melatih mereka dan mereka juga telah menunjukkan peningkatan dari segi kematangan di atas serta di luar padang.

“Kita tidak boleh melepaskan peluang ini, tetapi kami juga sedar Jepun adalah pasukan yang lebih hebat.

“Tetapi percayalah apabila saya mengatakan bahawa kita boleh mengatasi halangan ini dengan kebanggaan dan semangat, ia adalah sesuatu yang ada di dalam diri pemain-pemain ini.”

Berkenaan perlawanan berdepan Jepun, Kim Swee berkata: “Kita perlu kekal tenang dan teratur di sepanjang perlawanan, tidak kira apa jua situasinya.

“Barisan pertahanan juga perlu mengekalkan formasi mereka dan kekal berdisiplin ketika perlawanan.

Tidak kira apa yang berlaku hari ini, skuad Ong Kim Swee akan sentiasa diingati kerana menaikkan semangat di kalangan penyokong. Sudah dapat dilihat tanda-tanda bahawa pasukan Malaysia sedang berada di landasan yang betul untuk mengembalikan zaman kegemilangan mereka.

Untuk rekod, Indonesia sudah menjadi tempat buat bola sepak Malaysia mendapat pingat, walaupun persaingan di dalam acara sukan di antara dua negara ini sentiasa hangat.

Pasukan kebangsaan memenangi pingat emas Sukan SEA edisi 1979 dan 2011, serta menjulang Piala AFF buat pertama kali pada tahun 2010 di Jakarta.

Pada Sukan Asia edisi 1962 yang diadakan di Jakarta, Malaysia berjaya meraih pingat gangsa.

Jadi jika dilihat daripada statistik ini, keadaan sememangnya berpihak kepada anak buah Ong Kim Swee. Tetapi seseorang tidak boleh terlalu melihat ke belakang.

Bola sepak sudah semakin kompetitif dan ia sudah menjadi satu pencapaian apabila Malaysia kini diletakkan sebagai salah satu pasukan elit di peringkat Bawah-23.

Pada perlawanan hari ini, Safawi Rasid dijangkan akan mengetuai bahagian serangan bersama-sama Akhyar Rashid dan Syafiq Ahamd. Pada ketika ini, Safawi telah menjaringkan empat gol, sementara Akhyar dan Syafiq masing-masing menjaringkan satu gol.

Walaupun Jepun diwakili oleh pasukan Bawah-21, mereka tidak boleh dipandang rendah kerana pasukan dari Asia Timur itu sering melakukan perkara-perkara hebat di peringkat antarabangsa.

Walau bagaimanapun, kekebalan pasukan Jepun ini dikejutkan apabila mereka tewas 1-0 kepada Vietnam sekaligus menghalang mereka daripada mengguli tempat pertama dalam kumpulan.

Bagi Jepun, Sukan Asia adalah sangat bermakna dan itu adalah sebab utama mengapa mereka menghantar pasukan Bawah-21 mereka.

Jepun mengharapkan jurulatih mereka, Hajime Moriyasu untuk membina sebuah pasukan yang kukuh untuk Sukan Olimpik 2020 nanti, dan dari sana mereka boleh menyediakan pemain-pemain ini untuk Piala Dunia 2022 di Qatar.

Skuad Sukan Asia ini bakal menjadi tulang belakang kepada kedua-dua pertandingan itu nanti.

Moriyasu mempunyai lima orang pemain yang bermain di peringkat universiti, manakala selebihnya bermain bersama kelab di J-League.

“Kita mesti belajar daripada kekalahan kepada Vietnam dan menggunakan pengalaman itu untuk pergi jauh di peringkat kalah mati,” ujar Moriyasu kepada www.jfa.ja.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker