Isu SemasaMalaysiaTempatan

Pembayaran Gaji – Secara Bulanan Atau Mingguan Lebih Baik?

Baru-baru ini, terdapat cadangan untuk mengubah sistem pembayaran gaji daripada setiap bulan kepada mingguan atau dua minggu sekali, seperti yang dilakukan di beberapa negara luar.

Walau bagaimanapun, ramai pihak tidak bersetuju dengan cadangan ini kerana ia akan membawa lebih banyak mudarat berbanding manfaat kepada pihak majikan dan pekerja.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Datuk Abdul Halim Mansor berkata, walaupun sesetengah negara membayar gaji pekerja secara mingguan atau dua minggu sekali, tiada bukti yang menunjukkan bahawa sistem itu dapat membantu kakitangan untuk menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik.

“Di Malaysia, gaji dibayar secara bulanan dan pekerja menggunakannya untuk menguruskan komitmen-komitemen kewangan mereka seperti membayar sewa (dan sebagainya),” katanya.

Memetik laporan The Sun Daily,  Abdul Halim menambah bahawa kebanyakan pekerja juga mungkin tidak akan bersetuju dengan sistem baru yang dicadangkan ini.

“Sekiranya tiada permintaan, mengapa kita mahu mengubahnya (sistem pembayaran gaji)? Kebanyakan pekerja tidak akan bersetuju kepada perjanjian sedemikian,” jelas beliau.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Persekutuan Majikan- Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, sistem pembayaran gaji secara mingguan tidak bercanggah dengan undang-undang negara, tetapi ia akan menyukarkan pihak majikan.

“Kebanyakan majikan membayar gaji menerusi pemindahan bank dan sekiranya ia dilakukan setiap minggu, mereka akan perlu menanggung yuran tambahan.

“Jabatan Sumber Manusia juga perlu melakukan proses itu secara berulang sebanyak empat kali setiap bulan. Ini akan menjadi kerja tambahan buat mereka,” katanya.

Bukan itu sahaja, malah menurut Shamsuddin, majikan yang membayar gaji pekerja mereka secara tunai juga akan berhadapan risiko keselamatan yang lebih tinggi sekiranya pembayaran perlu dilakukan pada setiap minggu.

“Ia akan menjadi kebimbangan keselamatan apabila wang tunai yang banyak perlu dibayar secara tunai setiap minggu,” tegasnya.

Dalam pada itu, Timbalan Kementerian Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan telah menyediakan undang-undang untuk pembayaran gaji di bawah Seksyen 19 Akta Kerja 1955 dan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

Berdasarkan undang-undang negara, Mahfuz menyatakan bahawa pembayaran gaji mingguan tidak menjadi satu kesalahan, sama ada pengiraan gaji itu dilakukan mengikut jam, hari, minggu, atau bulan.

“Syaratnya adalah had gaji yang dibayar tidak boleh mencecah satu bulan,” katanya.

Oleh itu, apa pandangan anda? Adakah anda lebih suka jika gaji dibayar setiap hujung bulan seperti biasa, atau dilakukan secara berperingkat secara mingguan?

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker