Isu SemasaTempatan

Pembatalan ECRL Akan Menjejaskan Ekonomi Terengganu

Pada Selasa, 21 Ogos 2018, Kerajaan Persekutuan telah membuat keputusan untuk membatalkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Bukan itu sahaja, malah projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) turut dibatalkan oleh kerajaan.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kerajaan tidak mempunyai kemampuan untuk membayar kos projek-projek berkenaan, selain daripada Malaysia tidak memerlukan projek-projek seumpamanya buat masa ini.

Bercakap ketika sidang media pada hari terakhir lawatan beliau ke Beijing, Dr. Mahathir menyatakan bahawa kerajaan China turut bersetuju mengenai pembatalan projek ECRL dan “memahami pendirian Malaysia.”

Walau bagaimanapun, Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar tetap berharap agar projek ECRL dapat diteruskan kerana pembatalannya berpotensi mendatangkan kesan buruk terhadap ekonomi negeri itu.

“Terdapat beberapa persoalan yang masih belum terjawab dan ia adalah penting bagi saya untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya,” katanya.

Memetik laporan The Star, Dr. Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, kerja-kerja ECRL, termasuk pengambil alihan tanah serta pembinaan terowong dan jambatan, masih diteruskan walaupun projek itu telah ditangguhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berikutan kemenangan Pakatan Harapan (PH).

Daripada membatalkan projek berkenaan secara menyeluruh, beliau sebaliknya mencadangkan agar kerajaan mencari jalan alternatif, termasuk memberi tender kepada syarikat-syarikat tempatan dan mewujudkan usaha sama dengan rakan kongsi asing yang boleh menyelesaikannya dengan kos yang lebih rendah dan berpatutan.

“Saya yakin bahawa ini adalah cara alternatif yang lebih baik berbanding membatalkan projek itu sepenuhnya,” jelas beliau.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr. Azman Ibrahim juga meluahkan pandangan yang sama.

Beliau berkata, pembatalan projek ini akan menghapuskan peluang-peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

“Lebih teruk lagi, ia (tindakan membatalkan ECRL) akan kelihatan seolah-olah Kerajaan menafikan tiga negeri yang ditadbir oleh Pembangkang – Pahang, Kelantan dan Terengganu – daripada menikmati impak sosio-ekonomi yang mampu dibawa oleh ECRL,” tegasnya.

Namun menurut Dr. Azman, ia masih belum terlambat untuk Kerajaan Persekutuan menarik semula keputusan mereka untuk membatalkan projek tersebut.

Tambah beliau, pakar-pakar tempatan juga pasti akan dapat mencari jalan untuk meneruskan projek itu dengan kos yang lebih rendah.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Baca Juga

Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker