AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Pakistan Bersedia Untuk Berdamai Dengan India?

Pakistan dan India merupakan dua buah negara di Asia Selatan yang bermusuhan di antara satu sama lain selama berdekad-dekad.

Difahamkan, hubungan di antara mereka mula menjadi tegang sejak mencapai kemerdekaan daripada jajahan British pada tahun 1947 lagi.

Bukan itu sahaja, malah kedua-dua negara nuklear ini juga telah terlibat dalam tiga buah peperangan menentang satu sama lain, khususnya dalam merebut wilayah Kashmir yang dipertikaikan.

Baru-baru ini, Perdana Menteri baru Pakistan, Imran Khan telah mengumumkan hasratnya untuk memperbaiki hubungan Pakistan bersama ‘musuh ketatnya’ itu.

Menteri Luar baru, Shah Mehmood Qureshi turut menyatakan bahawa Islamabad mahu mengadakan “dialog yang berterusan dan tidak diganggu” bersama New Delhi.

“Kita bukan sahaja dua jiran, tetapi kita juga adalah dua negara kuasa nuklear…Kita mempunyai masalah yang sudah lama berlarutan.

“Pada pandangan saya, kita tidak mempunyai jalan penyelesaian lain selain daripada mengadakan perbincangan dan rundingan. Kita perlukan dialog yang berterusan dan tidak diganggu,” katanya yang merujuk kepada isu Kashmir, khususnya.

Memetik laporan AFP, Qureshi juga mahu pergi ke Afghanistan untuk menyampaikan mesej “cinta, persahabatan, dan permulaan yang baru.”

Beliau berkata, Pakistan tidak akan menikmati keamanan yang sedia ada sekiranya Afghanistan tidak mencapainya juga.

“Tanpa keamanan dan kestabilan di Afghanistan, tidak akan ada keamanan dan kestabilan di Pakistan,” katanya.

Difahamkan, Afghanistan juga telah lama menuduh Pakistan melindungi kumpulan-kumpulan pemberontak di dalam wilayahnya, termasuk Taliban.

Kumpulan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan penubuhan pasukan tentera rahsia Pakistan, di mana negara itu dikatakan akan menggunakan pasukan ini sebagai ‘benteng pertahanan’ terhadap ancaman India.

Dalam pada itu, tuduhan ini turut dilihat menjadi lebih ‘kukuh’ apabila Amerika Syarikat (AS) juga menuduh Pakistan memberi bantuan kepada kumpulan militan.

Walau bagaimanapun, Pakistan menafikan tuduhan tersebut sekeras-kerasnya, tetapi AS telah pun menggantung bantuan keselamatan kepada negara itu sekali gus mengeruhkan hubungan di antara kedua-dua negara berkenaan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker