Gaya HidupKesihatan

Kos Rawatan Kanser Lebih Mahal di Hospital Awam?

Pesakit kanser yang dirujuk dari hospital swasta ke hospital awam membayar lebih mahal untuk rawatan kanser dan ubat-ubatan dan mereka tidak senang dengan perkara ini.

Pesakit mengatakan mereka diminta untuk membayar RM400 untuk ubat-ubatan yang hanya dibayar kira-kira satu pertiga hingga separuh di hospital swasta.

Seorang pesakit kanser payudara tahap 3 mendapatkan rawatan di hospital swasta pada tahun 2016 dan mengambil tamoxifen, sejenis ubat anti-estrogen yang menghalang pertumbuhan kanser payudara.

Selepas pembedahan pada payudara kanannya, pesakit berusia 40-an yang hanya ingin dikenali sebagai Chin, memutuskan untuk ke Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya untuk mendapatkan rawatan susulan.

Chin telah dicaj RM100 untuk bekalan 30 tablet. Tetapi pada bulan Mac, selepas mendengar bahawa harga ubat tamoxifen telah dinaikkan, Chin menelefon IKN untuk menyiasat mengenainya dan diberitahu bahawa bekalan ubat itu kini berharga RM400.

Lebih mengejutkan, Chin mendapati sebuah hospital swasta hanya mengenakan bayaran sebanyak RM150 untuk bekalan yang sama. Chin yang tinggal di Petaling Jaya, berkata kakitangan IKN mendakwa subsidi ubat itu telah diberhentikan pada Oktober lalu.

Ketika doktor di hospital awam tidak membuka mulut mengenai isu ini, seorang pakar onkologi di sebuah hospital swasta yang enggan dinamakan, berkata pesakit kanser payudara datang kepadanya untuk bekalan ubat yang lebih murah.

“Mereka berkata mereka terpaksa membayar RM400 untuk ubat kanser di hospital awam,” katanya.

Beliau berkata pesakit juga mengadu bahawa mereka terpaksa membayar RM400 sebulan untuk letrozole atau anastrozole di hospital kerajaan, berbanding RM250 di hospital swasta.

Ini berlaku apabila pesakit dirujuk dari hospital swasta ke hospital awam. Walau bagaimanapun, jika pesakit telah dirujuk oleh kemudahan awam ke kemudahan awam yang lain, cajnya ialah RM50 untuk satu bulan bekalan bagi setiap ubat.

Tetapi pesakit swasta yang mendapatkan rawatan di hospital awam berkata mereka tidak harus dikenakan bayaran dengan ketara kerana mereka perlu menguruskan dana terhad mereka untuk rawatan kanser yang berulang.

Loong Dai Thai, seorang pesakit kanser payudara tahap 4 juga perlu membayar lebih banyak untuk rawatan kanser di IKN daripada di hospital swasta.

Setelah menerima rawatan di hospital swasta dan hospital universiti, wanita berusia 64 tahun itu memutuskan melakukan pemeriksaan susulan di hospital awam.

Bagaimanapun, apabila dia menjumpai ketulan pada lehernya pada bulan November 2016 dan mendapati kanser telah merebak dari payudara ke kelenjar limfa, Loong kembali ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan dengan cepat.

Dia kemudiannya meneruskan rawatan di IKN tetapi pada lawatan pertama, caj tersebut berjumlah kira-kira RM700, termasuk perundingan, letrozole dan ujian darah.

Ditanya mengenai rawatan dan ubat yang lebih mahal di kemudahan kesihatan awam berbanding hospital swasta, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata beliau akan menyiasat mengenai perkara itu.

“Sepatutnya di hospital kerajaan, ubat-ubatan telah diberi subsidi. Saya akan menyiasat dengan lebih lanjut,” katanya. – The Star

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker